PETALING JAYA, 13 Nov (Bernama) -- Seramai 200 anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Sabtu melakukan protes di depan ibu pejabat parti itu bagi mendesak pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dihentikan serta-merta, selepas didakwa tidak telus atau berlaku adil kepada calon yang bertanding.
Perhimpunan protes yang bermula 10.30 pagi dan berakhir 12 tengah hari itu diketuai bekas timbalan setiausaha agung PKR S.Jenapala Perumal.
Selain itu, turut kedengaran laungan "Hidup Zaid" (bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim) dan "hentikan segera pemilihan parti."
Bagaimanapun, Zaid tidak kelihatan sepanjang protes itu walaupun beliau pada mulanya dilapor akan mengetuainya.
Protes itu juga mempamerkan beberapa kain rentang yang tertera perkataan "Shame on you Anwar", "Anwar dan Azmin: pemimpin paling kotor, cakap tak serupa bikin, pemilihan parti yang paling kotor, penipu, pembohong dan pengkhianat dan mereka akan hancurkan parti kesayangan kita" serta "kami cinta Parti Keadilan Rakyat, penipuan di Pemilihan parti, demokrasi dikuburkan, apakah ini keadilan, jangan tipu kami".
Bagaimanapun, tidak ada wakil atau pemimpin PKR yang tampil meredakan keadaan dan pintu masuk ke ibu pejabat parti itu juga telah dikunci.
Bercakap kepada pemberita, Jenapala Perumal berkata tidak ada sebarang memorandum atau surat yang akan diserah kepada pimpinan PKR, sebaliknya, protes itu dilakukan untuk membolehkan pucuk pimpinan mendengar permintaan supaya pemilihan parti dihentikan.
"Sejumlah 162 aduan telah dibuat kepada MPP, tidak ada satupun yang diselesaikan. Kami ke sini untuk menunjukkan protes kerana anggota tidak gembira dengan pemilihan parti seperti ini," katanya.
Bekas Bendahari PKR Selangor K.S.Kottapan yang turut serta dalam protes itu mendakwa, pemilihan yang tidak telus menyaksikan haknya untuk bertanding sebagai anggota MPP telah dinafikan.
"Ini bukan pemilihan parti yang bersih. Saya menggesa pimpinan parti dengan segera hentikan pemilihan ini dan adakan semula daripada peringkat cabang. Saya pasti mereka akan ambil tindakan, khususnya (terhadap) orang seperti saya ini dan akan memecat kita.
"Apa yang kita minta ialah pemilihan dihentikan dan dilakukan semula, tetapi langsung tidak ada sebarang tindakan diambil. Kita di sini berjuang untuk keadilan rakyat, bukan berjuang untuk pemimpin-pemimpin tertentu," katanya.
Mengulas kenyataan Zaid yang juga bekas calon timbalan presiden yang mahukan penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim serta naib presiden Mohamed Azmin Ali berundur dari PKR, Kottapan berkata beliau menyokong apa yang dikatakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.
"Kita kena tukar pimpinan kita untuk menjadikan PKR maju dan rakyat terus mempercayai kita. Kita tahu pilihan raya umum juga dah semakin hampir, jadi kita perlu lakukan perubahan drastik. Saya sokong Zaid nak tubuhkan parti baru dan kalau PKR tidak berubah, saya rela saya dipecat," katanya.
Ketua Komuniti India Selayang, yang juga calon timbalan ketua cabang Selayang, B.Rajandran pula mendakwa pucuk pemimpin PKR sekarang terlalu mementingkan diri dan tidak membela nasib rakyat.
"Ketua-ketua yang ada sekarang ini semuanya pentingkan diri sendiri sahaja. Mereka tak peduli tentang rakyat dan janji-janji yang mereka buat masa pilihan raya, itu semuanya tidak ditunaikan lagi.
"Tetapi semua nak dapatkan Putrajaya sahaja...tapi tak buat apa-apa untuk rakyat, nak tangkap Putrajaya nak buat apa?," katanya.
Bagaimanapun, protes tersebut berlangsung secara aman di bawah pengawasan polis.
sumber; BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan