Sarawak lebih pantas: KM by Watt Zacchaeus. Posted on December 1, 2010, Wednesday
SCORE memacu negeri ini jadi maju dan kaya menjelang 2020
|
RASMI: Taib memukul gendang sebagai simbolik merasmikan Seminar Pembangunan dan Kepimpinan Ketua Masyarakat Negeri Sarawak di Sibu, semalam. Turut kelihatan (dari kiri) Awang Tengah, Abang Johari, Wong, Jabu, Morshidi dan Asfia. |
SIBU: Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) mampu memacu Sarawak menjadi negeri yang berpendapatan tinggi dengan lebih pantas di negara ini, sepertimana yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, SCORE adalah satu peluang yang baik untuk membentuk negeri ini sebagai sebuah negeri maju dan kaya menjelang tahun 2030. “SCORE dalam tempoh 20 tahun yang akan datang bakal mewujudkan sebanyak 1.6 juta peluang pekerjaan serta peluangpeluang baru dalam pelaburan dan industri,” ujarnya.
Bagi mengecapi semua itu, Taib memberitahu, rakyat negeri ini harus membuat persediaan dari sekarang bagi menerapkan diri dengan pendidikan yang secukupnya serta mempunyai kemahiran teknikal.
“Kita sebagai rakyat Sarawak kini harus membekalkan diri dengan pendidikan yang secukupnya dan kita juga mahu beliabelia diberi latihan teknikal bagi mengharungi SCORE yang menjadi tunjang kepada negeri ini kelak,” tegasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Pembangunan dan Kepimpinan Ketua Masyarakat Negeri Sarawak yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato Sri Mohammad Asfia Awang Nassar, Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.
Tema seminar pada kali ini ialah ‘Kepimpinan Akar Umbi Teras Pembangunan’ anjuran Jabatan Ketua Menteri Sarawak dengan kerjasama Angkatan Zaman Mansang (AZAM) dari 30 November sehingga 1 Disember dan disertai seramai 786 orang peserta yang terdiri daripada ketua masyarakat dan ketua kaum di seluruh Bahagian Sibu.
Taib menegaskan bukan mudah untuk membentuk negara maju serta berpendapatan tinggi dan ia memerlukan persediaan dengan penuh rapi dan teliti.
“Ini merupakan cabaran yang paling besar untuk Negeri Sarawak pada masa sekarang dan akan datang. Oleh itu bersedialah dari sekarang untuk kita memanfaatkan SCORE ini kelak,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau memberitahu Tanjung Manis adalah kawasan yang penuh dengan potensi SCORE dari segi pembangunan industri-industri baru yang akan diwujudkan di situ kelak.
Beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan merangkap Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber, turut melahirkan rasa gembira terhadap kaum Bumiputera yang kini memiliki kelayakan pendidikan tinggi serta kemahiran teknikal.
“Dengan adanya ilmu itu, saya percaya kaum Bumiputera tidak ketinggalan berbanding kaum-kaum lain untuk sama-sama mengharungi SCORE kelak,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurutnya, dengan adanya SCORE, ia boleh mempengaruhi penduduk Sibu agar tidak berhijrah ke negara-negara lain untuk mencari pekerjaan.
“Di negeri kita ini sudah banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan kelak, oleh sebab itu saya percaya SCORE boleh membuatkan penduduk Sibu tidak pergi jauh-jauh lagi mencari pekerjaan,” jelasnya sambil menambah, SCORE juga mampu menarik ramai orang luar untuk datang ke negeri ini sama ada untuk mencari pekerjaan atau melabur.
Sementara itu, Taib me-nyeru rakyat agar tidak mengambil mudah soal pembangunan, sebaliknya harus memilih kerajaan yang mempunyai agenda pembangunan yang mampu memakmur serta memajukan negeri ini.
Menurut beliau, agenda pembangunan berterusan yang dirancang rapi serta menyeluruh, boleh menjadikan rakyat hidup dengan lebih selesa dari segi ekonomi dan sebagainya.
“Oleh itu, semasa pilihan raya pilihlah calon yang boleh menyalurkan pembangunan kepada rakyat dan negara. Diharap calon yang dipilih itu gunakan kuasa untuk tolong rakyat dan bukannya berebut kuasa sehingga mengabaikan rakyat,” ujarnya.
Taib memberitahu, tiada gunanya rakyat memilih calon yang tidak mempunyai kuasa dalam membangunkan serta tidak mempunyai agenda pembangunan untuk negeri ini.
“Kalau tiada agenda pembangunan yang berterusan, sesebuah negara itu boleh menghadapi masalah seperti negara Greece dan Ireland yang kini menghadapi masalah kewangan yang getir dan kritikal.
“Ini disebabkan kedua-dua buah negara itu tidak menitikberatkan soal agenda pembangunan dan lihatlah apa yang terjadi seperti yang dilaporkan oleh media-media di negara kita ini,” tegasnya.
Walau bagaimanapun, menurutnya, negara ini bersyukur tidak menghadapi masalah seperti negara-negara terbabit kerana kerajaan mengamalkan corak pemerintahan yang menekankan soal pembangunan. “Negara kita sudah makmur dan tiada menghadapi sebarang masalah. Dan kita juga mahu terus makmur selepas ini dan kerajaan akan merancang agenda pembangunan di negara ini khasnya Negeri Sarawak dengan betul,” ujarnya