Nuff Head

Najib For PM

Najib Razak merupakan PM yang paling banyak membawa Transformasi dan menyentuh segenap lapisan masyarakat

Suara 1Sarawak

Selamat Datang Semoga Kehadiran Anda Penuh Makna

Memaparkan catatan dengan label Sosilawati Misteri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sosilawati Misteri. Papar semua catatan

11 September 2010

Usaha jejaki Sosilawati temui jalan buntu

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Usaha mengesan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga lelaki yang hilang sejak 13 hari lepas masih menemui jalan buntu apabila tidak ada petunjuk baru diperolehi polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata sehingga hari ini tiada apa-apa perkembangan terbaru yang diterima polis bagi membantu siasatan kes tersebut.

"Setakat ini tiada apa-apa maklumat terbaru. Saya berharap mereka yang mempunyai maklumat mengenai mereka agar tampil menghubungi polis bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan di kediaman Sosilawati juga hampa apabila Bernama gagal mendapatkan komen anggota keluarga termasuk anak-anak beliau.

Bagaimanapun seorang pekerja di rumahnya yang sempat ditemui berkata sehingga hari ini anggota keluarga Sosilawati tidak menerima sebarang maklumat berhubung perkembangan terkini daripada polis.

"Keluarga (Sosilawati) tidak menerima sebarang maklumat terbaru mengenainya. Mereka juga tidak mendapat panggilan daripada polis berhubung perkara itu.

"Kesemua ahli keluarga termasuk anak-anak Sosilawati hanya beraya di sini untuk menunggu berita tentang ibu mereka. Mereka juga berharap agar tidak diganggu oleh mana-mana pihak termasuk media,” katanya.

Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan mahu ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Anggota keluarga terdekat Noorhisham ketika ditemui Bernama hari ini turut menyatakan perkara yang sama.

"Kami tidak menerima apa-apa perkembangan tentang Noorhisham dari polis sehingga hari ini. Apa-pun kami serahkan pada polis untuk siasat,” katanya yang enggan dikenali. - Bernama

10 September 2010

Jangan spekulasi kehilangan Sosilawati

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengingatkan mana-mana pihak agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kes jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki yang dilaporkan hilang bersamanya sejak 30 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, sehingga kini polis tidak menerima sebarang maklumat terbaru berhubung kes itu termasuk menerima laporan yang mendakwa Sosilawati mati dibunuh.

"Kita masih siasat lagi kes ini. Setakat ini polis masih belum menerima sebarang maklumat terbaru yang boleh membawa kepada penemuan mereka.

"Berhubung khabar angin yang mengatakan dia (Sosilawati) telah mati dibunuh, pihak saya langsung tidak mendengar perkara seperti itu. Apa-apa pun biar polis siasat dahulu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang semasa berada di Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Ekoran kejadian itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya, Isnin lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sudah menyalurkan maklumat yang diperolehi daripada saksi-saksi berhubung kes terbabit kepada polis Kuala Lumpur (KL).

"Kes ini adalah di bawah siasatan pihak polis KL. Namun apa juga bantuan...apa sahaja kerjasama yang diperlukan kita akan beri dan itu memang amalan pasukan polis. "Ada maklumat yang disalurkan pada pihak kita dan kita sudah salurkan (maklumat itu) kepada polis KL termasuk maklumat yang diperolehi dari saksi di Banting berhubung kejadian itu," katanya kepada pemberita selepas melawat anggota trafik yang bertugas di khemah Ops Sikap di Sungai Buloh.

Tinjauan Bernama di perkarangan rumah Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak dekat sini mendapati rumah itu lengang dan hanya terdapat beberapa individu dipercayai saudara dan kenalan rapat yang berada di rumah berkenaan.-Bernama

credit: metro

09 September 2010

Peguam dicari bantu siasatan kehilangan Sosilawati

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Seorang peguam dipercayai menjadi antara senarai individu paling dikehendaki dalam kes kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lagi lelaki, sejak 30 Ogos lalu.

Ini kerana lelaki yang ingin ditemui oleh Sosilawati, peguam, pegawai bank dan pemandunya itu di Banting disyaki merupakan individu terakhir bertemu dengan mereka.

Bagaimanapun sehingga kini, peguam tersebut belum tampil dan masih belum dikenal pasti identitinya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Risikan dan Operasi Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah berkata, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes kehilangan jutawan kosmetik tersebut.

Beliau berkata, orang awam turut dinasihati agar tidak mempercayai sebarang khabar angin yang disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) mahupun mulut ke mulut.

“Sebaliknya, orang ramai yang mempunyai maklumat seharusnya bantu pihak polis dalam siasatan dan bukannya menyebarkan khabar angin mahupun mempercayainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sejak beberapa hari lalu, pelbagai khabar angin tersebar mengenai misteri kehilangan Sosilawati bersama tiga lelaki.

Sosilawati yang merupakan Pengasas Nouvelles Visage dikesan hilang bersama pembantu peribadinya, Kamarudin Samsudin, 47, pegawai bank CIMB, Norhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, sebaik meninggalkan pejabatnya.

Misteri kehilangan Sosilawati bagaimanapun menemui petunjuk baru apabila Kereta BMW X5 bernombor pendaftaran WTL11 berwarna hitam milik Sosilawati yang dipercayai ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa akhirnya ditemui di kawasan letak kereta di Flat USJ1, Subang Jaya, semalam.

Dalam pada itu, adik Sosilawati, Masturi, 42, ketika ditemui di rumah jutawan kosmetik itu di Taman Harmonis, Gombak berkata, mereka sekeluarga masih belum menerima sebarang panggilan mahupun SMS daripada mana-mana individu.

Beliau berkata, semua ahli keluarga sepakat untuk membuat kenduri doa selamat bagi mendoakan keselamatan kakak bersama tiga lagi lelaki selamat.

“Apa yang kita sekeluarga harapkan adalah dia (Sosilawati) pulang dan dapat beraya bersama seluruh ahli keluarga,” katanya yang memberitahu Sosilawati sekeluarga akan pulang ke Batu Pahat, Johor setiap kali Hari Raya Aidilfitri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...