SERDANG, 27 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kewujudan kumpulan yang dikenali sebagai 'Third Force' dalam pakatan pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah berikutan timbulnya rasa tidak puas hati anggota parti itu terhadap kepimpinan mereka.
Perdana Menteri berkata keadaan itu juga menunjukkan krisis keyakinan yang begitu serius melanda parti tersebut dan tindakan anggota PKR itu kerana mereka sudah hilang kepercayaan terhadap pemimpin mereka.
"Kalau berlaku apa-apa pun, ini kesan daripada rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli PKR sendiri sebab itu mereka sudah menjadi kumpulan yang telah memilih jalan untuk keluar daripada PKR.
"Sama ada mereka jadi "Third Force" atau mereka masuk parti yang Datuk Zaid (Ibrahim) nak tubuh atau pun nak masuk Umno dan sebagainya. Ini kesan daripada keadaan dalam PKR yang menjurus kepada satu keadaan di mana krisis keyakinan yang begitu serius melanda parti tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pertanian, Horikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA 2010) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) pada hari Sabtu.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.
Najib diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Senator Dr Syed Husin Ali bahawa kewujudan kumpulan yang dikenali sebagai 'Third Force' dalam pakatan pembangkang bakal menyulitkan gabungan berkenaan untuk menang besar pada pilihan raya umum akan datang.
Ketika menyampaikan ucapan perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) semalam, Syed Husin berkata kumpulan berkenaan perlu ditangani dengan bijaksana dan tidak boleh dipandang ringan.
Ditanya sama ada Barisan Nasional (BN) dan Umno sedia menerima golongan berkenaan, Najib berkata BN dan Umno sentiasa terbuka dan bersedia menerima sesiapa pun menyertai parti tersebut.
"Mereka boleh menjadi ahli bersekutu, ahli badan bergabung dan sebagainya. Bererti bahawa kita lebih bersifat terbuka dan inklusif untuk kita dapat menarik sesiapa pun yang minat dengan perjuangan BN atau Umno," katanya.
Namun, pada masa sama, Najib menafikan bahawa langkah BN membuka keahlian terus itu adalah disebabkan parti berkenaan terdesak untuk mencari pemimpin pelapis.
"Tidak, ini bukan terdesak. Ini bererti bahawa BN sebuah parti yang berubah mengikut masa..ini yang penting. Kita tidak boleh dengan kaedah kita dengan struktur yang lama walhal persekitaran politik sudah berubah.
"Sebab BN perlu menampilkan dirinya sebagai sebuah parti yang sanggup berubah dan boleh berubah...sebuah parti yang segar dan dinamik, bukan parti yang kaku yang tidak sanggup melakukan perubahan," katanya.
Ditanya jika golongan "Third Force" akan berubah dan menyokong BN, Perdana Menteri berkata: "Saya tidak tahu lagi, ia bergantung,..kita akan lihat perkembangannya tapi ini adalah akibat anggota PKR hilang keyakinan."
-BERNAMA
makin kuat kempen ni, dah nak pilihanraya le kot
BalasPadam