GUA MUSANG: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memberi jaminan akan menunaikan segala janji untuk membela nasib kaum Orang Asli yang banyak membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, 4 November lalu.
Tengku Razaleigh berkata, kaum itu yang setia dengan perjuangan UMNO sudah memberikan sokongan padu bagi membolehkan BN menebus semula maruah selepas kekalahan kerusi DUN Galas pada pilihan raya umum lalu.
Hadir sama pada majlis itu anakanda Sultan Ismail Petra, Tengku Muhammad Fakhry Petra; ADUN Galas, Abdul Aziz Yusoff; ADUN Paloh, Datuk Nozula Mat Diah dan ADUN Nenggiri, Md Yusoff Ab Ghani serta wakil-wakil kaum Orang Asli dan pemimpin parti komponen BN.
Tengku Razaleigh berkata, beliau bersedia berbincang dengan ketua-ketua kaum Orang Asli mengenai perkara yang dijanjikan dalam masa terdekat ini kerana ia penting bagi kemajuan masa depan mereka.
Ia turut membabitkan hal berkaitan dengan kerajaan negeri terutama mengenai tanah kerana kaum itu wajar diberi keutamaan dalam penyelesaian berkenaan, katanya.
"Kita begitu kagum dengan sokongan 90 peratus Orang Asli pada pilihan raya kecil berkenaan di samping kaum lain terutama Melayu, Cina dan India juga. Saya menghormati segala usaha hingga mencapai kemenangan," kata Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang.
Katanya, BN Gua Musang kini perlu bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.
"Langkah itu bukan bertujuan untuk kita membanggakan diri atau riak diatas kemenangan besar BN pada pilihan raya kecil berkenaan (Galas), sebaliknya untuk faedah rakyat di Gua Musang juga," katanya.
Pada pilihan raya kecil Galas, Abdul Aziz menang dengan majoriti 1,190 undi selepas mendapat 5,324 undi manakala calon PAS Dr Zulkefli Mohamad memperoleh 4,134 undi.
Tengku Razaleigh adalah pengarah pilihan raya kecil BN/UMNO pada pilihan raya kecil berkenaan. - BERNAMA
SUMBER KLIK
0 ulasan:
Catat Ulasan