Kerajaan Punya Bukti Mat Indera Anggota Komunis, Kata Najib
23 Oktober, 2011 20:44 PM
KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Kerajaan mempunyai bukti kukuh bahawa Mat Indera adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM) berdasarkan rakaman tembualnya dengan anggota polis serta catatan sebuah buku, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata berdasarkan rakaman temubual itu yang kini berada dalam simpanan polis, Mat Indera sendiri mengaku mempunyai fahaman dan ideologi komunis selain terlibat merancang dan menembak anggota polis dalam insiden Bukit Kepong di Muar pada 1950.
"Saya sudah buat siasatan dan kita sudah ada bukti untuk diberitahu kepada rakyat Malaysia," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Perdana Bersama Perdana Menteri Dengan Pesara Dan Bekas Polis di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Najib berkata selain rakaman, terdapat sebuah buku bertajuk "Dialogues With Chin Peng: New Light on the Malayan Communist Party" oleh C.C.Chin dan Karl Hack, dengan setiausaha agung PKM Chin Peng sendiri memberitahu bahawa Mat Indera adalah anggota parti berkenaan.
"Kalau hendak angkat orang seperti ini (Mat Indera), salah tafsir sejarah, menidakkan keperwiraan, ini tidak betul. Kerajaan Barisan Nasional akan tetap mempertahankan perwira negara sampai bila-bila."
Tegas Najib, rakyat perlu sedar bahawa hanya pejuang kemerdekaan sebenar yang akan dikenang dan dipertahankan, bukannya komunis seperti yang didakwa Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, yang menyatakan Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan.
"Saya hairan dan pelik apabila ada pihak cuba mengagungkan komunis yang kononnya memperjuangkan kemerdekaan negara, tetapi hakikatnya pejuang yang sebenar adalah polis dan tentera, bukan komunis," katanya.
Beliau mempersoalkan apakah muslihat pemimpin berkenaan yang cuba mengagungkan komunis.
Najib turut menyifatkan mereka yang menyalah tafsir sejarah negara serta menidakkan, mencemuh dan memperlekeh jasa dan pengorbanan anggota keselamatan negara, sebagai melakukan kesalahan yang tidak boleh diampunkan.
Ditanya sama ada rakaman tersebut akan didedahkan kepada umum, ketika sidang akhbar kemudian, Najib berkata ia bergantung kepada keperluan.
Mengenai sama ada kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyokong kenyataan Mat Sabu, Najib berkata soal undang-undang adalah isu lain kerana apa yang lebih penting adalah sikap mereka yang mempertikaikan pengorbanan pejuang keamanan negara.
"Tindakan undang-undang hanya jika mereka salah di sisi undang-undang... tetapi sikap itu yang perlu dijawab melalui pendirian," katanya.
Menyentuh kenaikan pencen sebanyak dua peratus setahun kepada pesara kerajaan yang disifatkan terlalu kecil oleh sesetengah pihak, Najib berkata ia berdasarkan kemampuan dan komitmen kerajaan.
"Ia satu komitmen besar... Kita mempunyai skim pencen yang komprehensif... tetapi jika kami berupaya memberi lebih, kami akan beri. Penyelarasan ini tidak pernah dibuat sebelum ini, maka jangan fikir bahawa ia tidak penting atau tidak signifikan," katanya.
Najib semasa membentangkan Belanjawan 2012 mengumumkan kira-kira 600,000 pesara kerajaan akan menikmati penyelarasan pencen tahunan melibatkan kenaikan dua peratus berkuatkuasa 2013.
-- BERNAMA
Najib For PM
Najib Razak merupakan PM yang paling banyak membawa Transformasi dan menyentuh segenap lapisan masyarakat
Suara 1Sarawak
Selamat Datang Semoga Kehadiran Anda Penuh Makna
24 Oktober 2011
Mat Indera Sah Ahli Komunis??!!!
27 November 2010
"THIRD FORCE" MUSNAHKAN PKR - NAJIB


SERDANG, 27 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kewujudan kumpulan yang dikenali sebagai 'Third Force' dalam pakatan pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah berikutan timbulnya rasa tidak puas hati anggota parti itu terhadap kepimpinan mereka.
Perdana Menteri berkata keadaan itu juga menunjukkan krisis keyakinan yang begitu serius melanda parti tersebut dan tindakan anggota PKR itu kerana mereka sudah hilang kepercayaan terhadap pemimpin mereka.
"Kalau berlaku apa-apa pun, ini kesan daripada rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli PKR sendiri sebab itu mereka sudah menjadi kumpulan yang telah memilih jalan untuk keluar daripada PKR.
"Sama ada mereka jadi "Third Force" atau mereka masuk parti yang Datuk Zaid (Ibrahim) nak tubuh atau pun nak masuk Umno dan sebagainya. Ini kesan daripada keadaan dalam PKR yang menjurus kepada satu keadaan di mana krisis keyakinan yang begitu serius melanda parti tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pertanian, Horikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA 2010) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) pada hari Sabtu.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.
Najib diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Senator Dr Syed Husin Ali bahawa kewujudan kumpulan yang dikenali sebagai 'Third Force' dalam pakatan pembangkang bakal menyulitkan gabungan berkenaan untuk menang besar pada pilihan raya umum akan datang.
Ketika menyampaikan ucapan perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) semalam, Syed Husin berkata kumpulan berkenaan perlu ditangani dengan bijaksana dan tidak boleh dipandang ringan.
Ditanya sama ada Barisan Nasional (BN) dan Umno sedia menerima golongan berkenaan, Najib berkata BN dan Umno sentiasa terbuka dan bersedia menerima sesiapa pun menyertai parti tersebut.
"Mereka boleh menjadi ahli bersekutu, ahli badan bergabung dan sebagainya. Bererti bahawa kita lebih bersifat terbuka dan inklusif untuk kita dapat menarik sesiapa pun yang minat dengan perjuangan BN atau Umno," katanya.
Namun, pada masa sama, Najib menafikan bahawa langkah BN membuka keahlian terus itu adalah disebabkan parti berkenaan terdesak untuk mencari pemimpin pelapis.
"Tidak, ini bukan terdesak. Ini bererti bahawa BN sebuah parti yang berubah mengikut masa..ini yang penting. Kita tidak boleh dengan kaedah kita dengan struktur yang lama walhal persekitaran politik sudah berubah.
"Sebab BN perlu menampilkan dirinya sebagai sebuah parti yang sanggup berubah dan boleh berubah...sebuah parti yang segar dan dinamik, bukan parti yang kaku yang tidak sanggup melakukan perubahan," katanya.
Ditanya jika golongan "Third Force" akan berubah dan menyokong BN, Perdana Menteri berkata: "Saya tidak tahu lagi, ia bergantung,..kita akan lihat perkembangannya tapi ini adalah akibat anggota PKR hilang keyakinan."
-BERNAMA
24 Oktober 2010
TAPAK WARISAN MERDEKA DI KAMPUNG BARU?

Pindah Menara Warisan Merdeka ke Kampung Baru
KUALA LUMPUR 22 Okt. – UMNO Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan memindahkan projek pembinaan Menara Warisan Merdeka ke Kampung Baru di sini bagi membolehkan nilai hartanah orang Melayu di situ naik berganda pada masa depan.
Wakilnya, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, langkah memindahkan menara 100 tingkat itu ke Kampung Baru lebih wajar berikutan tapaknya yang luas.
“Saya memohon kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memikirkan, apa salahnya menara itu dinaikkan di tengah-tengah tanah orang Melayu di Kampung Baru.
“Di Kampung Baru kita mempunyai 92 hektar manakala tanah Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang akan dibangunkan bersebelahan Stadium Merdeka dan Stadium Negara hanya 8.8 hektar,” katanya ketika membahaskan usul ekonomi di sini hari ini.
Menurut beliau, langkah memindahkan menara itu ke Kampung Baru juga adalah bagi membolehkannya menjadi mercu tanda kejayaan orang Melayu di negara ini.
“Saya percaya orang Melayu di Kampung Baru akan bersetuju sungguh-sungguh dengan cadangan ini,” kata beliau.
Dalam perkembangan lain, Johari yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa mencadangkan supaya diwujudkan sebuah institusi baru yang mirip PNB tetapi dengan fungsi berlainan.
Beliau berkata, langkah itu perlu dibuat kerana konsep yang diamalkan oleh PNB sekarang tidak lagi bersesuaian pada zaman ini bagi membolehkan orang Melayu mengharungi cabaran Program Transformasi Ekonomi (ETP).
“PNB adalah pelabur pasif dan tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan syarikat yang dilaburnya dan ia juga tidak membangunkan kemahiran keusahawanan Melayu secara besar-besaran.
“Ia juga tidak melatih profesional Melayu dan mengembangkan bakat pengurus kaum ini dalam industri dan sektor yang dilaburnya,” ujarnya.
Tambah beliau, institusi baru yang dicadangkan itu akan memberi tumpuan bagi melahirkan lebih ramai usahawan Melayu agar mereka dapat terlibat secara langsung dalam 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan 131 projek yang dikenal pasti di bawah ETP.
“Langkah ini bertujuan memastikan masyarakat Melayu tidak tertinggal dalam arus pembangunan ekonomi dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian Titiwangsa, Nazir Hussin Akhtar Husin menyokong penuh cadangan Johari supaya memindahkan Menara Wawasan ke Kampung Baru.
Exco Pemuda UMNO yang juga Ketua Pemuda cawangan Kariah Atas A itu berkata, cadangan memindahkan projek itu adalah baik dan lebih membantu orang Melayu khususnya di kawasan berkenaan.
‘‘Bayangkan jika di tanah orang Melayu di tengah-tengah bandar yang strategik dibina bangunan sebegitu indah, pastinya ekonomi orang Melayu akan melonjak dengan cepat dan lebih terjamin,’’ katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Beliau berharap, Perdana Menteri dapat mempertimbangkan cadangan itu.
Cawangan Kariah Atas A adalah salah sebuah daripada 26 cawangan UMNO di keseluruhan Kampung Baru yang terletak dalam bahagian Titiwangsa.





