Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, parti itu tidak perlu apologetik untuk terus bercakap mengenai dasar dan prinsip perjuangan Islam yang didokongnya seperti pelaksanaan syariah Islamiah di negara ini.
Selain itu katanya, beliau juga tidak bersetuju Pas menenggelamkan atau menyembunyikan hasrat atau cita-cita untuk mendaulatkan Islam walaupun ia dilakukan atas nama strategi.
“Ini kerana kelak kita akan dilihat berpura-pura (hipokrit). Kita memperjuangkan Islam dengan pakej asal yang tulen daripada Rasullullah SAW.
“Tiada pakej kedua atau ketiga sekalipun untuk berdepan dengan usaha meraih sokongan dan undi bukan Islam.
“Pakej perjuangan kita telah siap dan kekal iaitu al-Quran dan ia dibaca oleh seluruh umat manusia sejak 1400 tahun lalu tanpa sembunyi dan perlu disepikan lagi,” tegasnya.
Beliau menegaskan demikian dalam blognya episod sebuah perjuangan.
Nasrudin turut mengingatkan, kempen baru Pas dalam musim atau di luar musim pilihan raya mestilah tidak lagi menggunakan kaedah lama yang hanya membuat ahli sendiri berasa seronok sementara orang- orang atas pagar dan mereka yang berada di seberang pagar akan lari malahan tersinggung dengan cara parti itu.
“Sedangkan kempen adalah untuk mendekatkan orang kepada kita. Kaedah lama seperti perkataan kasar penuh emosi yang dilontarkan mungkin berbalas takbir yang bergema daripada kalangan sendiri tetapi ia menambah liar hati orang ramai kepada perjuangan kita,” katanya.
Beliau berkata, Islam yang diperjuangkan oleh Pas adalah agama yang sesuai dan relevan sepanjang zaman.
“Biarpun al-Quran diturunkan lebih 1400 tahun lalu namun prinsip, kaedah, iktibar, nasihat, hukum dan isu yang dibawa masih segar dan hidup.
“(Oleh itu) selama mana perjuangan ini berlandaskan kaedah dan hikmah al-Quran maka selama itulah perjuangan ini terus segar, baru, sesuai sepanjang zaman,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan