Nuff Head

Najib For PM

Najib Razak merupakan PM yang paling banyak membawa Transformasi dan menyentuh segenap lapisan masyarakat

Suara 1Sarawak

Selamat Datang Semoga Kehadiran Anda Penuh Makna

Memaparkan catatan dengan label Bendera. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bendera. Papar semua catatan

22 September 2010

Demonstrasi anti-Malaysia kembali Lagi

JAKARTA 22 Sept. – Setelah menyepi sejak dua hari menjelang Aidilfitri baru-baru, kumpulan aktivis masyarakat Indonesia pada Rabu kembali mengadakan demonstrasi anti-Malaysia dengan kali ini membawa isu pembantu rumah dari negara itu yang diseksa dan diperkosa oleh majikan Malaysia.

Dalam cuaca hujan yang lebat dan renyai hari ini, demonstrasi berkonvoi 150 motosikal itu membabitkan kira-kira 300 penunjuk perasaan dari beberapa kumpulan aktivis yang menamakan diri “aliansi pemuda pemudi anti-Malaysia” dengan didominasi anggota kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera).

Dua lagi kumpulan yang turut serta ialah Gerakan Pemuda Daerah dan Relawan Prodemokrasi.

Sambil membawa bendera Indonesia serta bendera kumpulan masing-masing serta sepanduk “Ganyang Malaysia”, mereka membunyikan hon motosikal dan meneriak “Ganyang Malaysia” di hadapan kediaman Duta Besar Malaysia di Patra Kuningan dan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia, Kuningan, Jakarta Selatan. Kedua-dua tempat itu dikawal ketat oleh pasukan polis Indonesia.

Demonstrasi dimulai pukul 1.30 petang di hadapan Kediaman Duta Besar Malaysia dan pukul 2 petang di hadapan Kedutaan Besar Malaysia dan berlangsung selama 10 minit di kedua-dua tempat itu. – Bernama

03 September 2010

Ganyang Malaysia mahu tekan Susilo

JAKARTA: Kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat Malaysia (BENDERA) bertegas akan mengadakan gerakan 'Ganyang Malaysia' secara ekstrem dan besar-besaran mulai hari ini sehingga pemerintah Indonesia mengambil tindakan tegas menangani isu hubungan serta kedaulatan antara negara itu dan Malaysia.

Koordinatornya, Mustar Bona Ventura Manurung, berkata, tindakan itu dilakukan sebagai tanda protes terhadap pendirian ‘lembut' Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menangani isu kedaulatan dan hubungan diplomatik Indonesia dengan Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya akan mengumpul lebih ramai peserta demonstrasi untuk terus melancarkan gerakan ‘weeping' rakyat dan harta benda Malaysia walaupun dinasihatkan tidak bertindak ganas dalam isu ini.
Katanya, BENDERA akan memulakan demonstrasi besar-besaran selepas solat Jumaat dengan menumpukan kawasan mempunyai kepentingan dan rakyat Malaysia yang bekerja, belajar atau melancong di sini.

Mustar berkata, pihaknya juga mendesak pemerintah Indonesia menghalau pulang semua rakyat Malaysia yang berada di negara ini sebagai balasan terhadap kerajaan Malaysia yang didakwanya menghina bangsa dan kedaulatan Indonesia.

“Kita akan meningkatkan lagi gerakan Ganyang Malaysia. Demonstrasi akan diadakan esok (hari ini) bagi menyatakan pendirian kita tidak selari dengan Presiden. Motto kita ialah ‘Perang Ya, Diplomasi Tidak'.

"Segala saluran seperti berbincang, mesyuarat dan bertemu sudah dilakukan sebelum ini tetapi tidak menunjukkan hasil. Perang adalah satu-satu jalan yang dapat mengatasi masalah Malaysia mempermain dan memperleceh kedaulatan Indonesia," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

25 Ogos 2010

Warga Indonesia di Malaysia berasa kesal

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Rata-rata rakyat Indonesia yang mencari rezeki di Malaysia mencemuh perbuatan ahli Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) yang memijak Jalur Gemilang dan melempar najis ke kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, mereka menganggap perbuatan itu sebagai bodoh dan boleh menggugat hubungan baik antara kedua-dua negara.

Mereka turut percaya ada dalang yang menghasut ahli pertubuhan itu bertindak demikian untuk mempolitikkan isu penahanan tiga anggota penguat kuasa negara berkenaan oleh Polis Marin Malaysia di perairan Riau, baru-baru ini.

Seorang buruh binaan, Muhammad Nurzan Muhammad, 45, berkata, dia tidak bersetuju dan kesal dengan perbuatan ahli pertubuhan berkenaan kerana Malaysia banyak berjasa kepada Indonesia.

“Sebagai rakyat Indonesia yang menetap di Malaysia, saya sangat kesal dengan tindakan ini dan marah kerana kami di sini dilayan dengan baik serta hidup aman tanpa sengketa.

“Saya percaya ada pihak ketiga yang sengaja menimbulkan isu murahan seperti ini untuk kepentingan mereka,’’ katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan tindakan melampau anggota Bendera memijak Jalur Gemilang dan melempar sebungkus najis ke kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sebagai tanda protes terhadap penahanan anggota penguat kuasa negara berkenaan.

Seorang lagi buruh binaan, Zulkifli Kamil, 52, turut marah dengan perbuatan tersebut dan melabelnya sebagai tindakan orang yang tidak berpelajaran.

“Kita datang dari satu rumpun yang sama dan saya bimbang kejadian seperti ini akan mengancam keselamatan rakyat Indonesia di Malaysia yang selama ini hidup dengan selesa,’’ ujarnya.

Peniaga pasar malam, Faisal Nordin, 58, pula berkata, dia sudah menetap di Malaysia selama 30 tahun dan sepanjang tempoh itu tidak mempunyai sebarang masalah dengan rakyat negara ini.

“Saya dilayan dengan baik di sini dan tidak pernah terlintas di fikiran saya terdapat rakan-rakan di Indonesia sanggup berbuat demikian kepada negara yang telah banyak memberikan bantuan kepada kami,’’ katanya.

Seorang lagi peniaga pasar malam, Zainal Abidin Jabutarn, 35, berkata, dia amat terkejut dengan kejadian itu dan beranggapan perkara seperti tersebut tidak patut berlaku kerana Malaysia dan Indonesia umpama abang dan adik.

“Segala masalah boleh diselesaikan secara diplomatik dan saya difahamkan masalah berkaitan penahanan penguat kuasa kami dan juga nelayan Malaysia itu sudah diselesaikan, jadi apa lagi mahu dikecohkan,’’ tambahnya.

Penjual minuman, Hasni Anip, 48, pula berkata, tindakan ahli Bendera itu sepatutnya tidak berlaku kerana ia menunjukkan sikap segelintir rakyat Indonesia yang suka bertindak melulu dan mencemarkan nama baik negara.

Bagi penjaga kaunter tiket sebuah syarikat bas, Abdullah Muhammad, 22, rakyat Indonesia seharusnya mencari cara terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah dan bukan bertindak mengikut perasaan seperti yang dilakukan oleh ahli Bendera.

“Segala permasalahan antara kedua-dua negara biarkan pemimpin yang selesaikan dan kita sebagai rakyat jangan masuk campur kerana ia akan memburukkan lagi keadaan,’’ jelasnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...