Nuff Head

Najib For PM

Najib Razak merupakan PM yang paling banyak membawa Transformasi dan menyentuh segenap lapisan masyarakat

Suara 1Sarawak

Selamat Datang Semoga Kehadiran Anda Penuh Makna

Memaparkan catatan dengan label Krisis Malaysia Indonesia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Krisis Malaysia Indonesia. Papar semua catatan

30 September 2010

Sahabat Selamanya | Lagu Tema Upin Ipin Bawa Persahabatan Malaysia-Indonesia

JAKARTA, 29 Sept (Bernama) -- Padi, sebuah kumpulan muzik sedang meningkat di Indonesia Rabu melancarkan album single dengan lagu berjudul "Sahabat Selamanya" untuk lagu tema siri kartun Malaysia "Upin Ipin", yang membawa pesan persabahatan Malaysia-Indonesia.

Penghormatan yang diberikan oleh produser kartun Upin Ipin itu kepada kumpulan muzik itu, sekaligus menjadi daya usaha diplomasi budaya dua negara bersahabat, di tengah-tengah ketegangan hubungan Malaysia-Indonesia sejak pertengahan Ogos lalu.

Walaupun penerbitan album single ini pada awalnya bukan bertujuan mengurangkan ketegangan suasana, namun kehadirannya diharap dapat menyejukkan hati masyarakat kedua-dua negara.

Pengarah Urusan Les Copaque Production Sdn Bhd Burhanuddin Radzi, produser siri kartun itu berkata penerbitan Upin Ipin bukan semata-mata untuk mencari keuntungan, tetapi juga berperanan menjaga hubungan kedua-dua negara.

"Pemilihan Padi adalah untuk memberi penghormatan kepada para peminat di Indonesia, yang selama ini telah menyokong Upin Ipin," katanya.

Burhanuddin berkata ramainya peminat kartun itu di Indonesia dapat dilihat dari facebook watak dua adik beradik itu di mana peminat Indonesia mencapai 80 peratus dari sekitar tiga juta peminatnya.

Lagu "Sahabat Selamanya" menggambarkan persahabatan antara Upin Ipin dan kawan-kawannya, termasuk seorang budak perempuan bernama Susanti yang berasal dari Indonesia.

"Dalam pertengkaran tidak ada yang untung, oleh itu jadilah sahabat selamanya saja," katanya.

Para anggota kumpulan Padi juga amat teruja dengan projek lagu tema itu tanpa rasa khuatir kehilangan populariti dan penggemar, di tengah-tengah sentimen anti Malaysia di Indonesia pada masa ini.

"Dalam dunia anak-anak, mereka tidak mengenal masalah politik. Ruang imaginasi dan ruang permainan mereka tidak ada batasan. Kita cuba memasuki dunia anak-anak dan semoga ia dapat menjadi jambatan ke arah sana," kata Piyu, gitaris Padi.

Para anggota Padi yang telah berkeluarga mempunyai rasa ghairah tersendiri untuk membuat lagu ini kerana mereka dan anak-anak masing-masing juga merupakan peminat setia siri kartun itu, yang ditayangkan oleh sebuah stesen televisyen swasta di Indonesia.

Sementara itu, jurucakap Eminent Person Group Indonesia-Malaysia, Musni Umar yang turut hadir dalam acara pelancaran single itu yakin tayangan siri Upin Ipin dapat meredakan perasaan salah faham antara masyarakat Malaysia dan Indonesia.

"Upin Ipin begitu besar pengaruhnya dalam masyarakat Indonesia. Saya berharap ia dapat mengubah persepsi negatif masyarakat di kedua-dua negara," katanya.

Beliau juga berharap lebih banyak program positif seperti konsert muzik bersama, pertemuan belia-belia serta antara petugas media dapat dijalankan dalam usaha membantu mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam semua bidang lain.

credit:  BERNAMA

24 September 2010

Konsulat Indonesia: Ramai pembantu rumah sanggup kerja di Sarawak

KUCHING: Ramai pembantu rumah warganegara Indonesia sanggup bekerja di Sarawak walaupun negara mereka melarang mereka ke negara ini, kata Konsulat Jeneral Indonesia di Kuching Rafail Walangitan.

Menurutnya negaranya tidak dapat melaksanakan larangan itu memandangkan sempadan Kalimantan dan Sarawak terlalu luas untuk dipantau.

“Selain itu mereka sentiasa datang ke sini dengan menggunakan pas lawatan sosial,” katanya kepada akhbar kumpulan The Borneo Post semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Bernama kelmarin yang memetik Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Muhaimi Iskandar sebagai berkata kerajaan negara itu melarang calon pembantu rumah negara itu pergi be-kerja di Malaysia sehingga kerajaan Indonesia memberi perlindungan sewajarnya kepada mereka.

Kenyataan Muhaimi itu adalah reaksi kepada kejadian terbaru membabitkan peng-aniayaan terhadap pembantu rumah Indonesia Winfaedah di Pulau Pinang pada 13 September lalu.

Selain Malaysia, dua negara lain yang turut diminta dihindari calon itu sehingga ada kepastian perlindungan terhadap mereka ialah Kuwait dan Jordan.

Menurut Rafail, terdapat jutaan warga Indonesia yang sanggup datang ke Malaysia atau negara lain sebagai pembantu rumah kerana mencari peluang-peluang pekerjaan di luar negara.

Beliau menambah larangan sama telah berkuat kuasa sejak Jun tahun lalu dan kedua-dua negara kini cuba berunding untuk menyelesaikan pelbagai isu berkaitan, antaranya gaji bulanan RM800 untuk amah seperti diminta Kerajaan Indonesia.

“Kita berharap isu ini dapat diselesaikan dalam dua tempoh dua bulan kerana kedua-dua negara sedang berusaha ke arah itu,” katanya.

Menurut beliau ketika ini, terdapat sekurang-kurangnya 25,000 hingga 30,000 pembantu rumah warganegara Indonesia bekerja di Sarawak.

“Manakala kira-kira 200,000 lagi (warga Indonesia) bekerja dalam pelbagai sektor di Sarawak seperti perladangan, kilang, pem-binaan dan perikanan,” tambahnya.

credit: borneo post

11 September 2010

Hari Raya momentum baiki hubungan dua hala Malaysia-Indonesia

PUTRAJAYA 10 Sept — Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini merupakan satu momentum untuk rakyat Indonesia dan Malaysia memperbaiki hubungan dua hala di pelbagai peringkat, kata Duta Besar republik itu ke Malaysia Tan Sri Da”i Bachtiar.

Beliau berkata walaupun kedua-dua negara adalah berjiran, masalah tetap wujud.

Bagaimanapun, katanya cabaran ini adalah satu peluang untuk kedua-dua negara memperkukuh dan mengeratkan lagi hubungan yang sudah begitu lama terjalin di antara rakyat kedua-dua negara.

"Ini (sambutan Hari Raya) satu hari yang sangat baik untuk Indonesia dan Malaysia yang majoriti (penduduk) Muslim untuk saling memaafkan...satu momentum (yang perlu) digunakan untuk lebih memperbaiki hubungan antara dua hala...dua bangsa...dan dua negara,” katanya kepada Bernama ketika ditanya pesanan beliau kepada warga Muslim sempena sambutan Aidilfitri.

"Kerana negara berjiran itu ada masalah...tetapi masalah itu adalah sebagai satu cabaran untuk sama-sama jadikan cabaran untuk lebih erat lagi,” katanya di majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan jemaah Menteri di Seri Perdana di sini hari ini.

Sejak kebelakangan ini, hubungan Jakarta-Kuala Lumpur menghadapi cabaran berikutan tindakan beberapa pihak di republik itu yang membakar Jalur Gemilang serta melontar najis ke Kedutaan Malaysia di Jakarta.

— BERNAMA

09 September 2010

Bawa pulang duta Malaysia

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Kerajaan perlu memanggil pulang Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Munshe Afzaruddin Syed Hassan sekiranya mesej bantahan serta protes Wisma Putra masih gagal menghentikan serangan penunjuk perasaan terhadap pejabat Kedutaan Besar Malaysia di negara itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu wajar kerana kerajaan Indonesia sehingga kini tidak mampu menghalang tindakan penunjuk perasaan yang terus menerus mengancam keselamatan pejabat kedutaan Malaysia di republik berkenaan.

Beliau berkata, walaupun ia mungkin boleh menjejaskan hubungan dua hala namun dalam isu tersebut keutamaan perlu diberikan kepada keselamatan duta besar dan rakyat Malaysia di Indonesia.

''Pemuda UMNO juga meminta menutup sebahagian daripada perkhidmatan kaunter di kedutaan kita di Indonesia. Apa gunanya kita sediakan perkhidmatan jika kedutaan Malaysia terus diancam dan diserang oleh para penunjuk perasaan.

''Nampaknya jaminan yang diberikan oleh pemerintah Indonesia tidak memberi sebarang perubahan. Sehingga kini pejabat kedutaan kita terus diserang,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan hari raya kepada anggota polis yang bertugas pada hari lebaran di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, hari ini.

Bantuan tersebut telah diserahkan kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Supritendan Nor Azman Mohd. Yusof.

Beliau mengulas kejadian sejumlah penunjuk perasaan yang telah menceroboh dengan memanjat pintu pagar dan bangunan pos pengawal keselamatan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan dalam satu demonstrasi, semalam.

Khairy berkata, sejak tercetusnya isu tersebut pelbagai pihak termasuk Pemuda Barisan Nasional (BN) telah menyampaikan mesej bantahan dalam bentuk memorandum kepada pihak pemerintah Indonesia melalui pejabat kedutaannya di sini.

Bagaimanapun beliau berkata, ia seolah-olah langsung tidak memberi kesan kerana pejabat kedutaan Malaysia terus diancam dan diserang oleh penunjuk perasaan terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Wisma Putra perlu lebih bertegas dalam menyampaikan mesej bantahan kepada kerajaan Indonesia berhubung isu berkenaan.

''Apa yang penting Wisma Putra perlu memberikan kerajaan Indonesia satu mesej yang cukup jelas iaitu mereka perlu menghentikan segera perbuatan berdemonstrasi di hadapan pejabat kedutaan kita di Indonesia.

''Jaminan sahaja tidak cukup. Ia mesti disusuli dengan kesungguhan kerajaan Indonesia menghentikan perbuatan penunjuk perasaan terlibat.

''Jika mesej yang disampaikan ini masih tidak memberi kesan kita perlu berbuat sesuatu yang lebih besar dan antaranya memanggil pulang duta besar Malaysia di Indonesia,'' katanya.

Menjawab satu soalan sama ada Wisma Putra gagal menangani isu itu dengan baik Khairy berkata: ''Nampaknya begitulah.''

07 September 2010

Lima nelayan Indonesia ditahan:Tolong, tolong...bangsa sedang diinjak-injak.

PULAU PINANG 6 Sept. - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan lima nelayan Indonesia kerana dipercayai menceroboh kawasan perairan negara di Kampung Sungai Udang, Seberang Perai Selatan (SPS), di sini Jumaat lalu.

Lima lelaki berusia dalam lingkungan 25 hingga 27 tahun dan berasal dari daerah Langket, Sumatera Utara, Indonesia itu ditahan pada kedudukan longitud 99 36.02 timur dan latitud 05 10.45 utara, pukul 11.20 pagi.

Pengarah Unit Siasatan Daerah Maritim Dua Pulau Pinang, Leftenan Maritim Mohd. Shah Rulashari Ahmad Omar ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, penahanan kelima-lima nelayan itu dibuat hasil rondaan kapal KM Ciamil dalam Ops. Satria Utara diketuai Pegawai Memerintah kapal, Leftenan Hilmi Abdullah.

"Semasa melakukan rondaan di kawasan Selat Melaka utara, kita mendapati bot berkenaan yang tidak mempunyai nombor pendaftaran sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan perairan negara," katanya.

Agensi Berita Antara hari ini melaporkan, lima rakyat negaranya yang dikenali sebagai Naser (34), Junaidi (30), Iswadi (32), Jolauni (31) and Ali Akbar (22) ditahan oleh polis negeri ini di Kampung Jawi, SPS.

Setiausaha Agung People's Coalition for Fishery Justice (KIARA), Riza Damanik dipetik sebagai berkata, beliau percaya kesemua mereka ditahan di perairan Indonesia berdasarkan maklumat nelayan yang berjaya melepaskan diri dalam insiden itu.

Mengulas lanjut, Mohd. Shah menambah, hasil siasatan awal mendapati, kesemua mereka yang ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan.

Beliau berkata, kelima-lima lelaki itu memberi kerjasama yang baik dan mereka telah dibawa ke pejabat Maritim Malaysia Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, Mahkamah Majistret Jawi di sini juga telah membenarkan perintah tahanan reman ke atas nelayan terbabit selama 14 hari bermula 4 hingga 17 September ini.

"Kita sedang menjalankan siasatan dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa permit," ujarnya.

Warkah persahabatan dari pelajar Indonesia

Mereka menyatakan sokongan kepada penyelesaian aman

JAKARTA: Sebagai tanda menyokong penyelesaian secara aman terhadap per­balahan digunakan untuk menyelesaikan perbalahan antara Indonesia dan Malay­sia, sekumpulan 220 pelajar sekolah tinggi di Jawa Tengah menulis surat persahabatan kepada pelajar Malaysia.Dalam warkah berkenaan, para pelajar Sekolah Tinggi Pertama Keluarga itu mela­hirkan harapan mereka untuk melihat hubungan tegang antara kedua-dua negara akan kembali reda, lapor akhbar minguan Sunday Post se­malam.

“Kami bersetuju mengu­tuskan warkah persahabatan kepada para pelajar di sana dan melalaui surat ini, kami men­gajak mereka mengukuhkan ikatan persahabatan antara pelajar Indonesia dan Malay­sia,” kata Ardi Satya, pelajar sekolah berkenaan kepada akhbar itu.

Pelajar itu berkata tindakan mengisytiharkan perang ter­hadap Malaysia bukan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah antara kedua-dua negara kerana terdapat cara lain yang tidak bersifat permusuhan.

Seorang pegawai sekolah itu memberitahu akhbar itu ba­hawa surat berkenaan akan di­hantar kepada kedutaaan Ma­laysia di Jakarta pada Isnin.

Akhbar itu juga memetik pengetua sekolah berkenaan Basuki sebagai berkata beliau berharap lebih banyak pelajar dari kedua-dua negara men­gambil langkah serupa.

“Kami menentang peper­angan kerana ia akan mengor­bankan nyawa,” katanya.

Sejak tiga minggu lepas, beberapa ahli politik Indone­sia menggesa Presiden Susilo Bambang Yudhoyono supaya mengisytiharkan perang ter­hadap Malaysia sebagai cara penyelesaian muktamad untuk menyelesaikan masalah antara kedua-dua negara.

Hubungan dua hala Malay­sia-Indonesia tegang berikutan satu kejadian di sempadan maritim di kepulauan Riau pada 13 Ogos apabila polis marin Malaysia menahan tiga pegawai Indonesia, manakala pihak berkuasa republik itu pula menahan tujuh nelayan Malaysia.

Bagaimanapun, semua yang ditahan itu dibebaskan oleh pihak berkuasa kedua dua nega­ra pada 17 Ogos. — Bernama

source: borneo post

06 September 2010

NU tolak konflik Indonesia-Malaysia

JAKARTA 5 Sept. - Organisasi Islam terbesar di Indonesia Nahdatul Ulama (NU) menegaskan bahawa hubungan persaudaraan antara Indonesia dan Malaysia adalah terlalu kuat untuk dirosakkan oleh kepentingan ego individu.

"Kalau berlaku konflik, yang akan rugi kita sendiri. Orang lain atau pihak-pihak yang tidak suka dengan dengan persaudaraan kita, akan mengambil manfaat dari itu," kata Ketua Dewan Syura NU Pusat, Kyai Haji Masdar Farid Mas'udi.

"Walaupun pihak-pihak berkenaan itu pada awalnya tak mempunyai niat sedemikian, namun jika Indonesia dan Malaysia menjadi lemah, mereka akan ambil manfaatnya," katanya kepada Bernama di Jakarta.

Beliau mengulas ketegangan yang berlaku antara Indonesia dan Malaysia berikutan insiden yang berlaku di kawasan sempadan perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Pulau Bintan di kepulauan Riau pada 13 Ogos lalu.

Dalam insiden tersebut, tujuh nelayan Malaysia ditahan oleh bahagian penguat kuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia manakala Polis Marin Malaysia pula dikatakan menahan tiga pegawai penguat kuasa kementerian tersebut atas kesalahan menceroboh wilayah perairan negara masing- masing.

Pihak berkuasa kedua-dua negara telah membebaskan mereka yang ditahan pada 17 Ogos lalu, namun beberapa kumpulan aktivis masyarakat Indonesia mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bagi menuntut supaya Malaysia meminta maaf di atas tindakannya itu dan mendesak kerajaan Indonesia supaya bertindak tegas terhadap Malaysia dalam soal menjaga kedaulatan wilayah Indonesia.

Masdar berkata, Malaysia dan Indoneisa mempunyai begitu banyak persamaan seperti dari segi etnik, bahasa dan agama.

"Hubungan kedua-dua negara ini sudah seperti abang-adik, sehingga sering terlibat berkelahi perang mulut, namun ia hanya akan berlangsung sebentar saja.

"Mungkin justru terlalu dekat jadi semacam ada keberanian untuk saling mengganggu. Kalau orang jauh yang tidak punya kedekatan, tidak akan seperti itu.

"Namun meski sering bertengkar, kita tidak akan terjerumus pada konflik yang serius," katanya.

Dari kacamata seorang rakyat Indonesia, Masdar menyifatkan sikap Malaysia yang sering disebut sebagai merendahkan Indonesia, perlu dijadikan sebagai satu motivasi agar Indonesia makin memajukan diri dari segala aspek.

"Kerana pada kenyataannya, Indonesia kaya dengan pelbagai sumber daya alam, dan negara yang lebih besar namun ia masih tertinggal.

"Setiap muncul masalah, kami tidak terlalu khauatir. Boleh dikatakan ada sedikit ketegangan tetapi kami tidak ambil pusing. Saya kira ini untuk memotivasi pemimpin Indonesia untuk lebih menata diri, memperkuat daya saing bukan untuk menggagahi orang lain," katanya.

Beliau turut menyoroti semangat perpaduan yang wujud dalam Asean yang boleh dicontohi dalam melayari hubungan baik antara kedua-dua pihak. - BERNAMA

03 September 2010

Ganyang Malaysia mahu tekan Susilo

JAKARTA: Kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat Malaysia (BENDERA) bertegas akan mengadakan gerakan 'Ganyang Malaysia' secara ekstrem dan besar-besaran mulai hari ini sehingga pemerintah Indonesia mengambil tindakan tegas menangani isu hubungan serta kedaulatan antara negara itu dan Malaysia.

Koordinatornya, Mustar Bona Ventura Manurung, berkata, tindakan itu dilakukan sebagai tanda protes terhadap pendirian ‘lembut' Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menangani isu kedaulatan dan hubungan diplomatik Indonesia dengan Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya akan mengumpul lebih ramai peserta demonstrasi untuk terus melancarkan gerakan ‘weeping' rakyat dan harta benda Malaysia walaupun dinasihatkan tidak bertindak ganas dalam isu ini.
Katanya, BENDERA akan memulakan demonstrasi besar-besaran selepas solat Jumaat dengan menumpukan kawasan mempunyai kepentingan dan rakyat Malaysia yang bekerja, belajar atau melancong di sini.

Mustar berkata, pihaknya juga mendesak pemerintah Indonesia menghalau pulang semua rakyat Malaysia yang berada di negara ini sebagai balasan terhadap kerajaan Malaysia yang didakwanya menghina bangsa dan kedaulatan Indonesia.

“Kita akan meningkatkan lagi gerakan Ganyang Malaysia. Demonstrasi akan diadakan esok (hari ini) bagi menyatakan pendirian kita tidak selari dengan Presiden. Motto kita ialah ‘Perang Ya, Diplomasi Tidak'.

"Segala saluran seperti berbincang, mesyuarat dan bertemu sudah dilakukan sebelum ini tetapi tidak menunjukkan hasil. Perang adalah satu-satu jalan yang dapat mengatasi masalah Malaysia mempermain dan memperleceh kedaulatan Indonesia," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

02 September 2010

Sumatera Timur enggan berperang dengan Malaysia

JAKARTA - Seorang pemimpin politik Indonesia dari wilayah Sumatera Timur, Irgan Chairul Mahfiz mendakwa, masyarakat Melayu di timur pulau itu tidak akan berperang dengan jirannya, Malaysia, lapor sebuah akhbar semalam.

Pada sidang akhbar di sini semalam, dia yang merupakan Setiausaha Agung Partai Persatuan Pembangunan, sebuah parti terbesar dan berteraskan agama Islam berkata, penduduk Sumatera mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia.

"Jika berlaku perang dengan Malaysia, kami tidak akan ikut berperang kerana kami amat dekat dari segi kebudayaan dan ikatan persaudaraan hasil proses perkahwinan serta memiliki teras kebudayaan sama iaitu Melayu," katanya.

Irgan berkata, pihaknya berasa kesal dengan tindakan anggota-anggota sebuah badan bukan kerajaan tempatan yang dikenali dengan nama Bendera melemparkan najis ke arah Kedutaan Malaysia di sini pada 23 Ogos lalu.

"Bagi orang Melayu, tindakan itu bukan sahaja memberi tamparan kepada warga Malaysia, tetapi melukai hati masyarakat Melayu, yang punya tradisi saling menghormati dan tidak menghina dengan cara yang kurang elok," katanya.

Bagaimanapun kata Irgan, protes-protes yang dilakukan pihak tertentu sebagai cara menunjukkan kemarahan terhadap kerajaan Malaysia sewajarnya tidak melampaui adat ketimuran yang selama ini dipelihara dengan baik. - Agensi

source: kosmo

Indonesia syukuri sikap Sarawak

Pemikiran rasional dan tidak terikut-ikut ditunjukkan rakyat negeri ini amat dihargai

KUCHING: Warga Indo-nesia di Sarawak amat bersyukur dan menghargai sikap penduduk tempatan tidak terikut-ikut untuk mengancam keselamatan mereka meskipun gerakan anti-Malaysia semakin me-nular di negara republik itu.

Sambil berharap keadaan aman berterusan, Pemangku Konsulat Jeneral Indonesia Rafail Walingitan berkata pejabat mereka di sini tidak menerima sebarang aduan daripada mereka yang bekerja dan melancong di Sarawak.

“Kami amat menghargai sikap penduduk tempatan kerana tidak terikut-ikut dengan tindakan pihak yang menyebarkan sentimen anti-Malaysia di Jakarta atau Kalimantan Barat.

“Penduduk di sini mampu berfikir secara rasional dan kita bersyukur dengan sikap rasional yang ditunjukkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Rafail bagaimanapun berkata, peringatan telah dikeluarkan kepada warga Indonesia yang berada di Sarawak agar sentiasa berjaga-jaga terhadap sebarang bentuk ancaman.

Malah, mereka juga turut diberi peringatan agar tidak terikut-ikut dengan tindakan beberapa kumpulan anti- Malaysia.

Menurut beliau, tindakan beberapa kumpulan merangkumi Kumpulan Benteng Demo-krasi Rakyat (Bendera), Lumbung Informasi Rakyat (LIRA) dan Gerakan Rakyat Anti Malaysia (GERAM) bukan menggambarkan sikap pemerintah dan majoriti rakyatnya.

“Kita berharap hubungan persahabatan antara dua negara tidak terjejas berikutan tindakan beberapa pihak yang tidak rasional,” katanya.

Beliau turut menjelaskan tindakan kumpulan-kumpulan tersebut yang mengadakan demonstrasi terhadap Malaysia, berikutan kebebasan bersuara di Indonesia.

“Tetapi perlu juga ada batas-batas. Tidak boleh sesuka hati terutama perkara yang berkaitan hubungan dengan negara-negara lain,” katanya.

Kelmarin, akhbar melaporkan gerakan ‘Ganyang Malaysia’ merebak ke Kalimantan Barat apabila rumah seorang jurutera Malaysia di sebuah ladang sawit di daerah Ketapang dilempar batu besar pada Ahad lalu.

29 Ogos 2010

Presiden Susilo kirim surat damai

JAKARTA - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono telah mengirim sepucuk surat kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung ketegangan hubungan kedua-dua negara, lapor akhbar Kompas semalam.

Melalui suratnya, Pemerintah Indonesia berkenaan mengajak Malaysia supaya menyelesaikan masalah bilateral secara damai.

Perkara itu dinyatakan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik, Undang-undang dan Keamanan, Djoko Suyanto ketika ditemui wartawan dalam satu majlis berbuka puasa di sini semalam.

"Antara kandungan surat itu, Susilo telah mengundang Perdana Menteri Malaysia untuk menyelesaikan masalah bersama secara kekeluargaan bagi mengelak berlakunya perkara yang tidak diingini," kata Djoko.

"Presiden Susilo juga menyuarakan hasrat untuk membincangkan tentang isu sempadan. Itu adalah isu yang paling penting. Itulah dua intipati penting dalam surat itu," katanya.

Jelas menteri berkenaan, Susilo meminta agar isu-isu dua hala dapat diselesaikan secara damai sekali gus menghidupkan kembali semangat persahabatan hubungan Indonesia-Malaysia.

Menurutnya, rundingan terperinci tentang isu sempadan dengan Malaysia akan berlangsung pada pertemuan peringkat Menteri Luar pada 6 September depan. - Agensi

source: kosmo

25 Ogos 2010

Warga Malaysia tidak digalak berkunjung ke Indonesia

PUTRAJAYA: Wisma Putra tidak menggalakkan rakyat Malaysia daripada berkunjung ke Indonesia kecuali jika mempunyai urusan yang perlu disegerakan, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini Wisma Putra belum lagi mengeluarkan nasihat perjalanan rasmi ke Indonesia.

Ini berikutan tindakan 37 penunjuk perasaan mewakili Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) kelmarin yang melempar najis manusia di Kedutaan Malaysia di Jakarta dan memijak Jalur Gemilang. 



Kediaman Duta Besar Malaysia diancam

JAKARTA- Setelah melempar najis manusia ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia di sini Isnin lalu, kumpulan penunjuk perasaan yang sama mengugut untuk berbuat demikian di kediaman Duta Besar Malaysia pula.

Kali ini, penunjuk perasaan dari kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) itu dilaporkan akan disertai kumpulan gabungannya yang menamakan diri sebagai Pemuda Pemudi Anti Malaysia.

Sementara itu, 25 penunjuk perasaan Bendera merancang berdemonstrasi di hadapan Bank CIMB Niaga petang ini dan mengulangi aksi sama di pejabat Petronas kemudian.

Polis Indonesia yang mendapat maklumat mengenai rancangan demonstrasi haram di hadapan kediaman Duta Besar Malaysia di Patra Kuningan, bertindak mengetatkan kawalan dengan menempatkan lebih 200 anggota di sekeliling rumah tersebut sejak 9.30 pagi tadi.

Sejak malam tadi, Polis Indonesia telah menempatkan anggotanya bagi menjaga keselamatan di kawasan kediaman Duta Besar Malaysia itu.- Bernama 

Warga Indonesia di Malaysia berasa kesal

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Rata-rata rakyat Indonesia yang mencari rezeki di Malaysia mencemuh perbuatan ahli Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) yang memijak Jalur Gemilang dan melempar najis ke kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, mereka menganggap perbuatan itu sebagai bodoh dan boleh menggugat hubungan baik antara kedua-dua negara.

Mereka turut percaya ada dalang yang menghasut ahli pertubuhan itu bertindak demikian untuk mempolitikkan isu penahanan tiga anggota penguat kuasa negara berkenaan oleh Polis Marin Malaysia di perairan Riau, baru-baru ini.

Seorang buruh binaan, Muhammad Nurzan Muhammad, 45, berkata, dia tidak bersetuju dan kesal dengan perbuatan ahli pertubuhan berkenaan kerana Malaysia banyak berjasa kepada Indonesia.

“Sebagai rakyat Indonesia yang menetap di Malaysia, saya sangat kesal dengan tindakan ini dan marah kerana kami di sini dilayan dengan baik serta hidup aman tanpa sengketa.

“Saya percaya ada pihak ketiga yang sengaja menimbulkan isu murahan seperti ini untuk kepentingan mereka,’’ katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan tindakan melampau anggota Bendera memijak Jalur Gemilang dan melempar sebungkus najis ke kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sebagai tanda protes terhadap penahanan anggota penguat kuasa negara berkenaan.

Seorang lagi buruh binaan, Zulkifli Kamil, 52, turut marah dengan perbuatan tersebut dan melabelnya sebagai tindakan orang yang tidak berpelajaran.

“Kita datang dari satu rumpun yang sama dan saya bimbang kejadian seperti ini akan mengancam keselamatan rakyat Indonesia di Malaysia yang selama ini hidup dengan selesa,’’ ujarnya.

Peniaga pasar malam, Faisal Nordin, 58, pula berkata, dia sudah menetap di Malaysia selama 30 tahun dan sepanjang tempoh itu tidak mempunyai sebarang masalah dengan rakyat negara ini.

“Saya dilayan dengan baik di sini dan tidak pernah terlintas di fikiran saya terdapat rakan-rakan di Indonesia sanggup berbuat demikian kepada negara yang telah banyak memberikan bantuan kepada kami,’’ katanya.

Seorang lagi peniaga pasar malam, Zainal Abidin Jabutarn, 35, berkata, dia amat terkejut dengan kejadian itu dan beranggapan perkara seperti tersebut tidak patut berlaku kerana Malaysia dan Indonesia umpama abang dan adik.

“Segala masalah boleh diselesaikan secara diplomatik dan saya difahamkan masalah berkaitan penahanan penguat kuasa kami dan juga nelayan Malaysia itu sudah diselesaikan, jadi apa lagi mahu dikecohkan,’’ tambahnya.

Penjual minuman, Hasni Anip, 48, pula berkata, tindakan ahli Bendera itu sepatutnya tidak berlaku kerana ia menunjukkan sikap segelintir rakyat Indonesia yang suka bertindak melulu dan mencemarkan nama baik negara.

Bagi penjaga kaunter tiket sebuah syarikat bas, Abdullah Muhammad, 22, rakyat Indonesia seharusnya mencari cara terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah dan bukan bertindak mengikut perasaan seperti yang dilakukan oleh ahli Bendera.

“Segala permasalahan antara kedua-dua negara biarkan pemimpin yang selesaikan dan kita sebagai rakyat jangan masuk campur kerana ia akan memburukkan lagi keadaan,’’ jelasnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...