by: Saibi Gi
BINTULU: Dakwaan hanya 10 peratus daripada 1,000 permohonan pemilih baru dikemukakan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) diluluskan pendaftarannya disanggah oleh Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak.
Pengarahnya, Datu Takun Sunggah berkata 1,774 permohonan atau 80 peratus daripada 2,206 yang dikemukakan parti tersebut antara Januari dan Jun 2010 telahpun diluluskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Sebanyak 432 permohonan ditolak kerana tidak menepati syarat ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan semalam, sambil menambah tidak ada permohonan diterima daripada parti tersebut pada Disember 2009.
Menjelaskan lanjut mengenai penolakan itu, beliau berkata 127 permohonan dimiliki oleh mereka yang sudah berdaftar dan 198 dari-pada pemohon menyatakan alamat berbeza dengan tertera di kad pengenalan.
Manakala 28 permohonan diterima dari-pada mereka yang berumur di bawah 21 tahun; 18 permohonan daripada mereka yang bukan warganegara dan lima permohonan daripada mereka berstatus ‘Penduduk Se-mentara’.
“Berdasarkan angka itu, hanya 19.6 peratus ditolak dan untuk mengatakan hanya 10 peratus diluluskan adalah tidak munasabah,” katanya.
Ketua PKR Sarawak Baru Bian baru-baru ini mendakwa SPR hanya meluluskan 10 peratus permohonan yang dikemukakan dari kawasan Sungai Asap, Ulu Baram, Lawas dan Selangau.
Takun turut kesal apabila SPR didakwa bimbang dengan kewujudan pengundi muda yang akan menyokong pembangkang.
“SPR memproses semua borang pendaftaran, meluluskan dan mendaftar mereka yang layak dengan syarat mempunyai alamat seperti terdapat di kad pengenalan dan bukan mereka yang mendaftar untuk kali kedua menggunakan alamat sama.
“SPR mengalu-alukan warganegara yang berumur 21 tahun dan ke atas untuk mendaftar sebagai pemilih. Soal siapa diundi mereka, SPR tidak ada kaitan,” katanya.
Sementara itu, Takun menafikan dakwaan Setiausaha DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang mengatakan SPR menolak permohonan pendaftaran kerana menggunakan singkatan alamat rumah ketika mengisi borang.
Sambil meminta Chong mengemukakan bukti, beliau memberitahu SPR tidak sewenang-wenangnya menolak pendaftaran kerana kesilapan teknikal.
Malah, terdapat borang pendaftaran yang tidak ditandatangani oleh saksi tidak ditolak serta-merta. SPR katanya, akan menghubungi Ejen Pendaftaran daripada parti terbabit untuk menjadi saksi sebelum proses pendaftaran diteruskan.
“Saya berharap pada masa depan, Baru dan Chong akan memperolehi maklumat daripada Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak mengenai pendaftaran pemilih.
“SPR sedia membantu mana-mana parti politik dalam proses pendaftaran pemilih,” katanya.
credit source: the borneo post
PKR lah katakan... asyik salahkan pihak lain. itu kerja diorang.
BalasPadam