SRI AMAN: Rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas termasuk pesara kerajaan digalak memohon Netbook (komputer riba) 1Malaysia Jalur Lebar Telekom Malaysia (TM) menerusi cawangan TM di kawasan masing-masing mulai sekarang.
Penolong Pengurus Jualan Pengguna TM Kuching Abdul Razak Jon berkata, tujuannya ialah untuk menggalakkan penduduk memanfaatkan sepenuhnya kebaikan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara nanti.
“Anda (pemohon) perlu mempunyai nombor telefon rumah TM yang aktif serta mempunyai liputan internet Streamyx di kawasan masing-masing maka anda layak memohon,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Kaunter Terbuka Untuk Melanggan Jalur Lebar TM 1Malaysia di TM Net Cawangan Sri Aman, semalam.
Razak berkata, ia terbuka kepada semua tanpa mengira kaum dan agama.
Seramai 250 orang membanjiri premis TM di Jalan Club, bandar Sri Aman bagi memeriahkan sambutan Program Kaunter Terbuka Untuk Melanggan Jalur Lebar TM 1Malaysia mulai jam 8 pagi hingga 5 petang.
Program anjuran Jualan Pengguna TM Kuching ini turut diserikan lagi dengan peraduan mewarna untuk kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun, cabutan bertuah, seni free sand, persembahan bakat, sambutan hari jadi untuk tiga orang pelanggan setia TM dan pertandingan karaoke.
Program berkenaan turut mempromosikan set telefon CPEO dan i-Talk Card RM20 seorang bagi mereka yang menghadiri program itu.
Turut hadir Penyelia Pemasaran TM Sri Aman Burai Andar, Penyelia Jualan Pengguna TM Sri Aman Ali Utek dan Eksekutif Pemasaran Jualan Pengguna TM Kuching Rivena Lee.
Credit source : The Borneo Post
0 ulasan:
Catat Ulasan