Nuff Head

22 September 2010

Sukan Komanwel Delhi selamat

NEW DELHI – Penganjur Sukan Komanwel Delhi 2010, memberi jaminan temasya itu selamat dan kejadian serangan bersenjata minggu lalu tiada kaitan dengan sukan tersebut.

‘‘Serangan bersenjata yang berlaku kelmarin, tidak mempunyai hubung kait dengan temasya ini. Soal keselamatan telah kami uruskan. Itu jaminan saya,’’ kata Suresh Kalmadi, pengerusi jawatankuasa penganjur temasya 2-14 Oktober ini, yang akan menghimpunkan 7,000 atlet dan pegawai.

Dalam kejadian kelmarin, dua penyerang yang bermotosikal, melepaskan tembakan dan mencederakan dua pelancong Taiwan di luar sebuah masjid, yang didakwa dilakukan oleh sebuah kumpulan Islam.

Jaminan keselamatan di Delhi ditegaskan beberapa jam, selepas Australia mengeluarkan amaran tentang risiko ancaman pengganas semasa temasya berlangsung.

Suresh berkata, setakat ini sebanyak 71 negara, yang terdiri daripada bekas negara dalam empayar Britain, berpuas hati dengan langkah-langkah keselamatan yang diaturkan.

‘‘Kesemua negara anggota memahami langkah keselamatan yang kami adakan dan mereka berpuas hati,’’ kata Suresh.

Sementara itu, polis India menegaskan, mereka telah mengetatkan langkah keselamatan, ekoran kejadian serangan, Ahad lalu.

Kejadian itu, didakwa dilakukan oleh kumpulan militan Mujahideen yang mengirim emel kepada beberapa pusat media, malam kelmarin.

Dalam pada itu, jurucakap polis New Delhi, Rajan Bhagat menolak dakwaan kumpulan yang mengaku melakukan serangan tersebut.

‘‘Tidak ada kumpulan yang terlibat. Emel yang diterima oleh BBC dan TV India tidak berkaitan kerana siasatan awal mendapati kejadian itu tidak ada kena mengena dengan kumpulan Mujahideen India,’’ kata Bhagat.

Laporan The Times India menyebut, polis telah menutup lot-lot parkir di 470 lokasi di New Delhi, sebagai langkah berjaga-jaga kebimbangan terhadap serangan semasa temasya berlangsung. – AFP

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...