KUANTAN - Keluarga pemandu peribadi Datuk Sosilawati Lawiya, Kamaruddin Shansuddin masih berharap keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijangka diketahui dalam tempoh seminggu lagi, bukan milik mangsa.
Kakak mangsa, Ramlah Shansuddin, 49, berkata, anggota keluarga Kamaruddin kini menanti penuh debaran akan keputusan laporan DNA berkenaan.
"Tak tahu nak cakap sebab kita pun berdebar juga, harap-harap bukan dia tetapi kalau sekiranya dia (Kamaruddin) yang dimaksudkan, kami sekeluarga kenalah reda," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di kediamannya di Indera Mahkota di sini, hari ini.
Sosilawati dan Kamaruddin, 44, bersama pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dipercayai dibunuh selepas dilaporkan hilang ketika urus niaga tanah di Banting, Selangor pada 30 Ogos lepas.
Sementara itu, Tengku Abdullah berharap mangsa terlibat dalam kes pembunuhan sangat kejam dan dahsyat itu mendapat pengadilan sewajarnya.
Tengku Abdullah bertitah, baginda sebelum ini tidak mengetahui Kamaruddin menetap di Pahang manakala ibu Kamaruddin, Zainab Ahmad, 73, pernah bekerja dengan keluarga baginda.
Baginda turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Sosilawati yang pernah dianugerahkan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pingat kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk. - Bernama
0 ulasan:
Catat Ulasan