KUCHING: Jawatankuasa Penaja UMNO Sarawak (JPUS) sudah bersedia untuk terlibat sama dalam pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.
Ketua Penerangan JPUS Abu Bakar Hassan, memberitahu pihaknya sudah bersedia untuk proses pemilihan calon-calon untuk bertanding pada pilihan raya negeri kelak.
“Ahli-ahli JPUS di seluruh Sarawak akan melibatkan diri dalam pilihan raya negeri yang bakal datang.
“Kami juga sudah bersedia untuk memilih calon yang betul untuk pilihan raya yang akan datang,” katanya.
Namun demikian beliau enggan mengulas lanjut mengenai persiapan dan sejauh mana penglibatan mereka untuk pilihan raya yang akan datang.
Sementara itu, Abu Bakar semalam turut mendedahkan JPUS setakat ini mempunyai kira-kira 70,000 ahli serta 350 cawangan di seluruh Sarawak.
Abu Bakar memberitahu perkara itu kepada pemberita di sini semalam pada majlis ramah-tamah Aidilfitri sekali gus menyambut perayaan Hari Malaysia.
Katanya, majlis tersebut diadakan bertujuan bermaaf-maafan serta memperkenalkan JPUS kepada orang ramai.
“Kami menjangkakan kehadiran 5,000 pengunjung untuk menghadiri majlis kami pada hari ini (semalam),” katanya lagi.
Menurut beliau, majlis ramah-tamah tersebut turut disertakan dengan majlis tahlil pada sebelah malam untuk memperingati pemimpin UMNO yang telah meninggal dunia.
Majlis semalam turut dihadiri oleh pengerusi protem JPUS Affendi Jeman serta ahli JPUS yang lain.
credit: borneo post
0 ulasan:
Catat Ulasan