Nuff Head

18 September 2010

Rakyat Malaysia Diculik, Filipina Sedang Berusaha Bebaskan

KOTA KINABALU, 17 Sept (Bernama) -- Kerajaan Filipina telah memberi jaminan mereka akan melakukan yang terbaik untuk membebaskan dua rakyat Malaysia yang diculik dan ditahan oleh kumpulan bersenjata di selatan negara itu sejak Februari lepas.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata isu itu adalah antara beberapa perkara yang dibincang semasa pertemuan beliau dengan Presiden Filipina Benigno S Aquino III di Manila pada Selasa lepas.

"Kita telah berbincang tentang penculikan itu dan beliau (Aquino) berkata kerajaan Filipina akan melakukan segala yang mungkin untuk membebaskan kedua-dua mangsa culik.

"Tetapi seperti yang dinyatakan, mereka perlu menangani isu ini sebaik mungkin kerana kita tidak mahu membahayakan nyawa mereka berdua," katanya kepada pemberita.

Dalam kejadian 7 Feb itu, pengurus ladang rumpai laut Tsen Vui Chung, 42 dan sepupunya yang juga penyelia ladang Lai Wing Chau, 33 diculik dari Pulau Sebangkit, Semporna dan keluarga mereka mendakwa penculik meminta wang tebusan RM2 juta.

Anifah yang ditemui pada majlis makan tengah hari meraikan kira-kira 30 duta dan pesuruhjaya tinggi yang hadir sambutan Hari Malaysia semalam, berkata beliau juga akan sentiasa berhubung dengan Kementerian Luar Filipina bagi mengetahui perkembangan terbaru kes tersebut.

Mengulas mengenai hasil lawatan lima harinya ke republik itu yang berakhir semalam, Anifah berkata hubungan antara Kuala Lumpur dan Manila kini berada di landasan yang betul di bawah kepimpinan presiden baru Filipina.

"Ini jelas menerusi pertemuan saya dengan Menteri Luar (Alberto G. Romulo) dan Presiden.

"Kesungguhan Aquino untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di New York (pada perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu minggu depan) adalah satu lagi petanda baik, kita sedang mengatur pertemuan kedua-dua pemimpin itu di sana," katanya.

Anifah berkata Aquino dijangka menyambung perbincangan mengenai peranan Malaysia sebagai fasilitator dalam rundingan damai antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kerajaan Filipina.

Selain itu, Anifah berkata beliau turut mengulangi keperluan Filipina membuka pejabat konsulat di Sabah bagi memudahkan urusan berkaitan pekerja Filipina di sini.

Katanya, Aquino menjelaskan perkara tersebut akan dibincang bersama dengan isu tuntutan republik itu ke atas Sabah.

"Presiden mengambil sikap menerima. Beliau percaya kita patut selesaikan isu ini secepat mungkin agar perhubungan antara Malaysia dan Filipina akan terus diperkukuhkan menerusi penyelesaian isu berbangkit.

"Beliau bersedia meletakkan perkara itu dalam agendanya dan ianya mungkin akan dibincang dengan Najib ketika di New York, tetapi untuk beliau memberi maklum balas positif berkenaan isu itu dan kesediaannya untuk membincangkannya, pada saya adalah mesej yang baik," kata Anifah.

Ditanya mengenai situasi di Indonesia, Anifah berkata sejak Selasa minggu lepas sehingga kini tidak ada demonstrasi antiMalaysia diadakan dan kerajaan Indonesia berusaha mencegah insiden tidak diingini pada masa depan.

"Kita harus faham di Indonesia tunjuk perasaan dibenarkan, tetapi hanya demonstrasi secara aman.

"Kita juga membincangkan kemungkinan mewujudkan zon penimbal (di kedutaan) agar mereka itu tidak dapat memasuki pagar atau pondok pengawal keselamatan. Tapi setakat ini laporan yang saya terima dari Kedutaan kita semuanya aman, dan setakat ini belum ada keperluan lagi," katanya.

-- BERNAMA

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...