Calon: Pemuda BN yakin ada peluang
KUCHING 27 Feb. - Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak yakin pemimpin tertinggi parti itu akan memberi ruang serta peluang kepada beberapa muka baru di kalangan generasi muda untuk bertanding pada pilihan raya negeri nanti.
Ketua Pemuda BN negeri, Datuk Fadillah Yusuf berkata, pihaknya akan menyerahkan kepada pimpinan tertinggi BN negeri bagi memutuskan calon-calon di kalangan pergerakan itu sama ada di kalangan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) atau parti komponen yang lain.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PBB bagaimanapun memberitahu, pihaknya tidak akan menyerahkan sebarang nama calon di kalangan Pemuda kerana tradisinya keputusan akan dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
"Kelazimannya, tradisi pemilihan calon akan dilaksanakan oleh Perdana Menteri dan Ketua Menteri dan kami yakin dengan keputusan pemimpin tertinggi tersebut, maka kita tidak akan menyerahkan nama kepada mereka.
"Ini kerana kedua-dua pemimpin tertinggi berkenaan begitu mengetahui apa yang berlaku di peringkat akar umbi dan pasti mereka akan meletakkan barisan pelapis setiap kali pilihan raya diadakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Info Bestari dan sambutan Maulidur Rasul Kampung Sri Maimunah di Surau Darul Ibadah, di sini hari ini.
Terdahulu Fadillah diminta mengulas sama ada Pemuda PBB akan menyerahkan nama di kalangan Pemuda untuk di ketengahkan sebagai calon pada pilihan raya negeri akan datang.
Dalam pada itu, Fadillah yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memberitahu, setiap kali Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan, parti PBB sememangnya akan menghantar wakil untuk memberi sokongan moral kepada calon BN terutama semasa penamaan calon.
Katanya, maka tidak hairan terdapat beberapa ahli PBB telah dihantar bagi memberi sokongan moral di kedua-dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan DUN Merlimau.
Malah tambahnya, beliau percaya jentera BN di kedua-dua kawasan PRK tersebut sedang berusaha keras dalam memastikan BN memenangi pilihan raya berkenaan sekali gus mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti lebih besar.
sumber : utusan malaysia
0 ulasan:
Catat Ulasan