Nuff Head

04 Februari 2011

IJN SARAWAK UMPAMA HOTEL MEWAH!


Wad yang menempatkan pesakit jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan, dilengkapi dengan peralatan canggih.


KUCHING 3 Feb. – Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kota Samarahan dekat sini adalah bukti jelas betapa kerajaan Barisan Nasional (BN) benar-benar mendahulukan rakyat sebagaimana dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kewujudannya antara lain bertujuan menangani keperluan mendesak untuk memiliki sebuah hospital kerajaan kedua di Kuching berikutan kesesakan pesakit dan tempat letak kereta yang semakin kritikal di HUS.

Bayangkan, Kuching yang mempunyai penduduk kira-kira 700,000 orang hanya mempunyai sebuah hospital kerajaan yang dilengkapi 850 buah katil.

Dengan jangkaan populasi meningkat kepada satu juta orang pada 2015, keperluan itu semakin getir sedangkan pembinaan sebuah hospital baru biasanya akan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan.

Di atas kesedaran itulah, janji ‘Rakyat Didahulukan’ dipenuhi oleh kerajaan. Segalanya bermula dengan sepucuk surat cadangan daripada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud kepada Perdana Menteri pada 22 Julai tahun lalu.

Enam hari kemudian, Kabinet membuat satu ketetapan untuk meletakkan Pusat Perubatan Antarabangsa Sarawak (SIMC) yang merupakan bangunan yang dijadikan Pusat Jantung HUS sekarang di bawah operasi Kementerian Kesihatan.

Pada 29 Oktober lalu pula, Kabinet meluluskan bajet berjumlah RM29 juta untuk tujuan operasi Pusat Jantung HUS dan semua keputusan mengenainya dibuat atas dasar pertimbangan khas malah ia tidak tersenarai dalam projek Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Lantaran itu, Perdana Menteri sewaktu merasmikan Pusat Jantung HUS pada 16 januari lalu menyatakan rasa gembiranya kerana projek berkenaan menjadi kenyataan dalam masa yang singkat.

Menurut beliau, kejayaan itu disumbangkan oleh kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak demi menyediakan rawatan kesihatan yang lebih baik kepada rakyat negeri ini.

Katanya, kewujudan Pusat Jantung HUS itu adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan akses kepada rawatan pakar tidak hanya tertumpu di Lembah Klang semata-mata.

“Apabila projek sebuah hospital swasta dilaksanakan di sini (SIMC), maka terdapat satu peluang jika ia diambil alih, maka Kementerian Kesihatan akan mempunyai satu lagi pusat yang pada asalnya tidak ada dalam buku rancangan kita.

“Oleh itu, berdasarkan kepada satu pertimbangan khas maka jemaah menteri ambil keputusan tahun lalu dan hari ini, Alhamdulillah ia menjadi kenyataan,” katanya.

Dengan keputusan pantas untuk memindahkan Jabatan Jantung HUS ke bangunan sendiri, ia berjaya mengosongkan kira-kira 60 buah katil biasa, sembilan katil rawatan kritikal, enam bilik konsultasi di klinik pakar serta ruang-ruang lain yang dapat digunakan oleh disiplin Neurosurgery, Nephrology, Urology dan Anestesia di HUS.

Dan pastinya keputusan sepantas itu tidak dibuat dengan sambil lewa, Pusat Jantung HUS bukannya sebuah hospital yang biasa kerana fasiliti yang dimilikinya bertaraf lima bintang sehingga Ketua Jabatan Kardiologinya, Profesor Dr. Sim Kui Hian dalam satu pertemuan dengan media, kelmarin, secara berseloroh berkata pesakit yang dimasukkan ke wad pastinya tidak mahu pulang ke rumah.

Kata Kui Hian, suasananya umpamanya sebuah hotel mewah dan tidak pernah ada mana-mana hospital kerajaan lain di negara ini yang menawarkan kemudahan sedemikian.

“Seorang pesakit yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Jantung (CCU) akan ditempatkan di sebuah katil khas bermuzik yang berharga RM58,000 seunit,” katanya.

Sebanyak lapan unit katil sedemikian disediakan di Pusat Jantung HUS khusus untuk keselesaan pesakit yang mahu mendengar muzik bagi memudahkan mereka tidur sewaktu berada di dalam wad.

Katil berkenaan turut mempunyai panel sesentuh untuk melaras kedudukan katil selain mempunyai alat penimbang, tiub oksigen bina dalam selain mampu menghilangkan rasa lenguh walaupun pesakit tidak turun daripada katil selama beberapa hari.

Lebih istimewa, caj yang dikenakan kepada orang ramai hanya berada pada kadar biasa hospital kerajaan iaitu RM5 untuk mendapatkan rawatan jantung manakala bayaran bagi pesakit yang dimasukkan ke wad hanyalah RM3 semalam.

Kelengkapan perubatan lain di pusat jantung berkenaan juga ultra moden dan ia lebih kehadapan berbanding dengan hospital swasta lain di negara ini mahupun hospital di negara asing.

2 ulasan:

  1. bersyukur dengan apa yang ada, tak perlulah kita berteriak dijalan raya...

    BalasPadam
  2. apa jadi dengan mesir bro?

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...