Kemenangan Barisan Nasional (UMNO) dalam Pilihanraya Kecil Kerdau dan Merlimau memberikan enam jawapan kepada enam soalan. Inilah soalan-soalan yang dimaksudkan.
Pertama, adakah secara keseluruhannya Pakatan Rakyat kuat?
Kedua, adakah peristiwa kejatuhan pemerintah di tempat lain memberikan kesan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN)?
Ketiga, adakah konsep 1Malaysia kian diterima?
Keempat, adakah cara dan gaya Pas berhujah berupaya mempengaruhi fikiran orang Melayu di Malaysia? Kelima, Adakah Ummi Hafilda mempunyai kekuatan untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya?
Keenam, adakah Datuk Seri Anwar Ibrahim disokong secara meluas rakyat Malaysia?
Pakatan Rakyat memang pakatan yang ganjil kerana Pas dan DAP amat berbeza. Namun, selama ini, atas kehebatan dan kekuatan pengaruh Anwar, perbezaan antara Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Karpal Singh dapat disembunyikan di bawah karpet. Bahkan, beberapa kali tokoh Pas mengatakan mereka tetap berjuang untuk penubuhan Negara Islam, dan tokoh DAP mengatakan sikap berlawanan. DAP menyatakan bahawa asas perjuangan mereka ialah amalan pentadbiran sekular. Namun kedua-dua kumpulan ini (Pas dan DAP) tetap memaparkan kesungguhan untuk bersatu padu.
Saya fikir, soalan pertama berjawab dengan kata-kata ini: Bahawa rakyat tidak rela untuk terus terkeliru dengan permainan kata-kata. Rakyat mahu mendengar pemimpin menyatakan perbezaan mutlak dan persamaan yang ketara antara serigala dengan kuda, bukan soal kemungkinan kerjasama antara kedua-duanya. Keputusan pilihan raya kecil di Merlimau dan Kerdau menyatakan, Pakatan Rakyat tidak kuat dalam menyatakan mereka dapat bekerjasama. Beberapa minggu terakhir ini, kisah kemaraan rakyat melawan pemerintah heboh diperkatakan. Sejumlah tulisan bersifat menyindir kerajaan BN – siap dengan pelukisan watak – dikemukakan. Secara analogi, simbolik dan simile, kejatuhan kerajaan yang diperintah tokoh-tokoh hebat itu dianggap sebagai tanda peristiwa yang sama akan berlaku di Malaysia. Jika peristiwa sama tidak berlaku, maka dikatakan rakyat Malaysia kurang berani. Pembicara tertentu kelihatan amat risau, kononnya rakyat Malaysia kurang kritis, atau tidak analitis.
Untuk menjawab soalan kedua itu, dapat kita katakan bahawa peristiwa di tempat lain tidak sesuai dijadikan analogi, lambang dan persamaan dengan apa-apa berlaku di sini. Kerajaan di dunia tertubuh dan berkembang dengan cara berbeza-beza. Apa yang sama tentulah tuntutan asas kehidupan, iaitu makan minum, tempat tinggal dan lain-lain seumpamanya. Jika tuntutan asas itu tidak tertunaikan, maka rakyat bangkit menuntut hak. Di Malaysia kini, tokoh politik kerajaan dan tokoh politik pembangkang, masing-masing mahu memperlihatkan keupayaan menyediakan kecukupan asas bagi rakyat. Dalam hal kenaikan harga minyak (dan harga barang lain), pembangkang amat cepat menyampaikan komentar dan serangan setiap kali harga naik, tetapi secara berterusan pihak kerajaan memberikan justifikasi.
Pembicara politik juga pelbagai. Ada berbicara dengan cukup baik, membayangkan peristiwa di luar adalah tanda kejatuhan kerajaan di sini. Ada pula lebih cenderung untuk berhati-hati bagi melihat setiap sudut secara rapi dan rinci.
Konsep 1Malaysia bukanlah yang betul-betul baru. Memang slogan itu dianggap milik Perdana Menteri kini, tetapi kita tidak dapat mengatakan Tunku Abdul Rahman tidak mengamalkan 1Malaysia. Penegasan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ juga demikian. Konsep ini adalah baik untuk semua negara. Ertinya jika negara itu bernama Damibia, maka bolehlah dislogankan ‘1Damibia: Rakyat didahulukan …’ (Damibia ialah negara rekaan dalam novel The General is Up, karya Peter Nazareth). Oleh itu, apabila ada pihak mengaitkan 1Malaysia dengan slogan negara lain, secara kasarnya dapat kita katakan “itu biasa saja”.
Slogan 1Malaysia, biarpun bukan baru, sikit banyak memberikan kesan. Sama seperti ‘Bersih, Cekap, Amanah’, ‘Cemerlang, Gemilang, Terbilang’ dan ada yang lain lagi, ‘1Malaysia’ dapat menghidupkan perbincangan tentang arah tuju negara. Jika pembangkang mengambil alih pemerintahan, mereka pastinya akan mengemukakan slogan lain, misalnya ‘Masyarakat Madani’. Kesemua itu baik-baik belaka. Janganlah kita memperlekeh slogan ‘Membangun Bersama Islam’ misalnya, kerana itu juga membawa makna yang jauh, jika dikupas.
Cara pemimpin Pas berhujah, terutama dalam menyatakan dua hal adalah sukar diterima umum. Kedua-dua hal itu ialah: pertama, keazaman untuk menubuhkan Negara Islam, atau sekurang-kurangnya untuk menjadikan Islam sebagai dominasi, dan kedua, keputusan untuk bersatu padu dengan dengan DAP. Maksud saya, kedua-dua perkara di atas adalah berkonflik antara satu dengan lain.
Melalui keputusan pilihan raya kecil ini, pengundi di kedua-dua kawasan mahu menyatakan hujah Pas tentang hal di atas amat menyulitkan fikiran. Pas selalu mengatakan, tuntutan Islam dalam pemerintahan akan dilaksanakan, dan pada masa sama, hasrat DAP juga akan ditunaikan. DAP sendiri agak jelas, kerana mereka mengatakan segi-segi keadilan dan kebajikan dianjurkan Pas akan diterima baik, dan ini disertai keengganan seratus peratus jika negara Islam mahu ditubuhkan.
Pas mempunyai banyak hujah, dan sejumlahnya diterima baik oleh orang Melayu dan bukan Melayu, namun dalam hal yang satu itu Pas belum menyatakan hujah betul-betul diterima rakyat umum, dan direstui DAP. Pembicara politik kebanyakannya tahu tentang kandungan pemikiran Pas, cuma masing-masing merasakan sikap berterus-terang adalah lebih baik daripada sikap menunggu masa. Kesimpulannya, Pas pasti dapat bertahan dengan keseluruhan cara dan gayanya, cuma parti itu rumit dalam menghadapi kaedah politik DAP yang tidak kurang pengalamannya.
Di sana sini orang berbicara tentang kemunculan semula Ummi Hafilda. Jarang sekali kita mendengar kupasan objektif tentang kehadiran adik Azmin Ali yang hebat ini. Agak aneh, mereka yang mengakui Azmin hebat, berhasrat melupakan saja bahawa dalam satu keluarga mungkin muncul dua atau lebih tokoh hebat.
Dalam keluarga Tun Dr Mahathir Mohammad, muncul anak Mahathir, dalam keluarga Datuk Pairin Kitingan, muncul adik Pairin, dalam keluarga Anwar muncul isteri dan anaknya, dan akhir-akhir ini kita dengar berita dalam keluarga Tan Sri Khir Johari, muncul anaknya menyertai DAP. Di luar negara pula, dalam keluarga George Bush, muncul anak, dalam keluarga Clinton, muncul isteri. Jadi, adakah aneh dalam keluarga Azmin, muncul adiknya, Ummi Hafilda? Mereka muncul tidak semestinya sejalan. Itulah politik. Ummi Hafilda menjelaskan alasan kemunculannya, jadi saya kira terimalah alasan itu. Orang lain mereka-reka alasan. Baik di kedai kopi, mahupun di atas pentas, alasan boleh direka-reka orang. Dalam politik, selalunya yang direka-reka itulah disukai. Alasan direka-reka itu, misalnya kemunculan seseorang adalah atas alasan ‘dibayar’, adalah khabar angin atau hearsay sahaja. (Sejauh ini, seperti telah saya bicarakan dalam tulisan lepas, banyak sekali anggapan atau tuduhan: yang masuk parti, atau keluar parti adalah dibayar.)
Dalam hal ‘reka-reka alasan ini’, saya teringat akan kata-kata Ustaz Abu Bakar Hamzah, “Kita kurang tahu tentang kita, orang lain lebih tahu tentang kita.’
Ummi Hafilda muncul dengan wajah dan pertuturan meyakinkan. Kita hendaklah memberikan peluang luas kepada beliau, seperti mana kita berikan peluang kepada sesiapa berhasrat memaparkan inti perjuangan masing-masing. Ertinya, kita jangan menolak kehadiran Ummi Hafilda, sepertimana kita tidak akan menolak kehadiran Bob Lokman dalam kawasan Pas. Gaya bahasa, pertuturan, kandungan ucapan, hendaklah kita tinjau dengan saksama. Jika pemidato itu melakukan kesalahan dalam menyatakan kandungan ucapannya, pihak yang terkena pasti akan mengambil tindakan undang-undang.
Akhir sekali, kita tinjau populariti Anwar. Kita dapati, oleh sebab beliau masih berupaya melanjutkan cara pidato dekad 1970an, beliau masih diterima baik. Mungkin agak besar jumlah orang yang seusia dengannya sudah meninggalkannya, namun beliau masih bertenaga bersama-sama orang muda. Kelebihan Anwar jarang ada pada tokoh lain. Walau bagaimanapun, pengundi di kawasan-kawasan pilihan raya kecil yang kita jadikan fokus ini tampaknya tidak mengambil kira hujah Anwar. Kehadiran mereka dalam mana-mana majlis pidato Anwar adalah hal lain, pemberian undi adalah hak pengundi.
Fikir-fikirkan...
sumber dari sinar harian.