TANJUNG MANIS: Sarawak kini berhadapan cabaran baru iaitu politik kotor yang dibawa oleh parti pembangkang dalam kempen mereka bagi meraih simpati masyarakat seterusnya memenangi pilihan raya akan datang, kata Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Namun begitu, katanya kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN) yakin bahawa rakyat negeri ini tahu membezakan apa yang benar atau palsu, terutama dalam menilai setiap isu dibangkitkan oleh pembangkang dalam usaha mereka memburuk-burukkan kerajaan.
Katanya, Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sudah hilang kredibiliti apabila sering turun naik mahkamah.
Ini turut diburukkan lagi apabila ramai kalangan pemimpin utama dan ahlinya telah keluar daripada parti tersebut disebabkan masalah dalaman dan hilang keyakinan terhadap perjuangan parti tersebut.
“Seperti di Pulau Pinang dan Selangor pihak pembangkang pernah menjanjikan akan memberikan faedah bayaran premium tanah terendah berbanding negeri lain di Malaysia tetapi pada hakikatnya mereka (pembangkang) masih tidak dapat mengatasi negeri ini kerana Sarawak merupakan negeri yang terendah mengenakan bayaran premium kepada rakyatnya.
“Malah kerajaan kita telah memberikan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 secara percuma dan boleh dikatakan tempoh hak milik itu adalah seumur hidup tanpa sebarang bayaran dikenakan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemudahan Awam Sarawak berkata demikian dalam sidang media di sini semalam.
Awang Tengah berkata pembangkang sekarang ibarat ‘cakap tak serupa bikin’ dan hanya tahu membuat penilaian tentang kelemahan dan kekurangan orang lain sedang mereka berada dalam situasi terumbang-ambing.
Katanya, kerajaan tidak pernah mengambil tanah rakyat sesuka hati seperti yang dituduh oleh pembangkang tetapi setiap kali pengambilalihan tanah oleh kerajaan terutama untuk pembangunan akan dibayar pampasan dan ganti rugi mengikut kadar harga pasaran semasa.
Menurut Awang Tengah lagi, Sarawak kini pesat membangun di bawah pemerintahan BN yang memperkenalkan dasar politik pembangunan yang diterajui oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
“Masyarakat harus menggunakan kelebihan pembangunan yang berlaku di sekitar mereka untuk berkembang serta meningkatkan kemahiran melalui latihan kemahiran yang disediakan bagi menghadapi perkembangan industri yang mapan dalam sedikit masa sahaja lagi.
“Kerajaan memang tidak dapat lari daripada kelemahan tetapi kerajaan BN sentiasa berusaha mempertingkatkan dan memperbaiki kelemahan yang ada itu secara berperingkat-peringkat dan oleh yang demikian rakyat harus faham dan sabar dengan situasi tersebut,” ujarnya.sumber utusan sarawak
0 ulasan:
Catat Ulasan