NEW MEXICO: Seorang penyanyi Mexico ditembak mati beberapa jam selepas dia menafikan laporan yang menyatakan dia mati dibunuh.
Dilaporkan, Sergio Vega ditembak ketika memandu kereta Cadillac merahnya dalam perjalanan ke Sinola untuk satu persembahan konsert. Penyanyi berusia 40 tahun itu baru-baru ini, melaporkan dia meningkatkan kawalan keselamatan selepas beberapa penyanyi Mexico mati dibunuh.
Dalam kenyataannya di laman web hiburan La Oreja mengenai gosip kematiannya akibat dibunuh, Vega mengatakan,” Hal itu sering diperkatakan sejak dulu lagi, ada orang melaporkan di stesen radio atau surat khabar mengenai saya mati dibunuh atau mengalami kemalangan. “Kemudian saya terpaksa menelefon ibu yang menghidap sakit jantung supaya dia tidak terkejut mendengar gosip mengenai saya itu,” ujarnya bercanda.
Vega yang lebih dikenali sebagai El Shaka gagal mengawal kenderaannya selepas tembakan dan mengalami kemalangan, lapor akhbar El Debate. Pembunuh itu kemudian menghampiri kenderaan Vega dan menamatkan riwayatnya dengan menembak kepala dan dadanya.
Vega banyak membawakan genre muzik Grupero yang memuja kehidupan bangsawan dadah.
Polis melaporkan pemuzik Grupero sering menjadi sasaran musuh geng dadah.
Penyanyi Grupero, Sergio Gomez dan K-Paz de la Sierra juga mati dibunuh pada 2007 selain enam lagi turut menjadi mangsa sejak enam bulan lalu. Pengurus Vega, Ana Luisa Gomez memberitahu dalam laman Twitter: “Sahabatku Shaka kini di syurga dan bersama Tuhan.” - Agensi
source: metro