Nuff Head

04 Disember 2010

6 PELAJAR PENAN TERIMA BANTUAN..


MIRI — Enam pelajar Penan mendapat bantuan kewangan dan biasiswa daripada Biasiswa PETIPUN-Interhill untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang di institusi pengajian tinggi.

Mereka yang menerima bantuan kewangan ialah Lydia Usun Boy dan Cynthia Anita Dia dari Long Spigen, Baram dan Madalin Ajang dari Long Lamai, Baram dan Christina Ubang dari Long Win.

Lydia, Cynthia Anita dan Madalin melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Sistem Maklumat di Kolej Yayasan Sabah manakala Christina Ubang dalam Diploma Pengurusan Hotel di Kolej SEGI .

Dua lagi pelajar iaitu Bernard Upieh dari Long Naring, Tutoh baram dan Wenni Bungan dari Long Tujang, Apoh, Baram, kedua-duanya memperolehi keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil pelajaran Malaysia (SPM).

Bernard mendapat 1A, 4B dan 1C dalam STPM dan melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Terengganu dalam jurusan Polisi dan Sosial Alam Sekitar dan dijangka bergraduan pada 2012.

Manakala Wenni memperolehi 1A, 5B dan 2C dalam SM dan melanjutkan pelajaran peringkat diploma di Universiti Teknologi Mara dalam bidang Pentadbiran Awam.

Pengarah Kumpulan Interhill, Alice Hu berkata, Biasiswa PETIPUN-Interhill merupakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) dibawah Inisiatif Pendidikan Interhill bertujuan membantu pelajar dan anak-anak di pedalaman melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

“Semasa pelancaran pertama projek ini tahun lepas, kita memberi bantuan kewangan kepada 11 pelajar Penan untuk melanjutkan pelajaran.”

“Tahun ini kita amat berbangga kerana dapat meneruskan projek itu kepada enam pelajar Penan. Kami di Interhill percaya, melalui pendidikan anak-anak Penan dapat mengubah masa depan dan meningkatkan kualiti hidup,” katanya pada majlis penyampaian bantuan kewangan dan biasiswa Biasiswa PETIPUN-Interhill di sebuah hotel hari ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Pembangunan Penan Tipun Sarawak (PETIPUN), Datuk Hassan Sui.

Skim Biasiswa PETIPUN-Interhill ditubuhkan oleh Interhill dengan PETIPUN pada 2009 dengan tujuan memberi jaminan dan peluang kepada anak-anak Penan di Baram melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi.

Sementara itu, Datuk Hassan berkata, pendidikan dan pengetahuan amat penting untuk memastikan kaum Penan terus bergerak maju seperti kaum lain di negeri ini.

“Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah merangka satu pelan tindakan untuk meningkatkan taraf pendidikan bagis etiap golongan.”

“Oleh itu saya menyarankan supaya kaum Penan berfikiran terbuka mengenai pentingnya mereka mendedah dan menggalakkan anak-anak mereka untuk belajar lebih tekun sama ada di peringkat pra sekolah, sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi,” katanya.

Beliau menambah, inisiatif bantuan kewangan serta biasiswa tajaan PETIPUN-Interhill amat signifikan dalam usaha meningkatkan jumlahPenan berjaya dalam akademik.

“Setakat ini lebih 20 anak Penan bergraduan dari universiti tempatan dan luar negara. Kita harap dapat melahirkan lebih ramai graduan pada masa hadapan melalui skim ini,” katanya.

Hasan turut berterima kasih kepada Interhill kerana menubuhkan inisiatif untuk membantu anak-anak Penan melanjutkan pelajaran dan ini membuktikan keprihatinan syarikat besar itu kepada kebajikan kaum itu.

SUMBER DARI : SARAWAK UPDATE

1 ulasan:

  1. syabas untuk interhill atas usaha murni mereka,
    semoga dalam hal-hal lain juga..

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...