Nuff Head

08 Disember 2010

NAJIB : MARI BERHIJRAH.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengajak umat Islam supaya terus berusaha untuk berhijrah bagi mencipta kejayaan dan inovasi baru yang memberi impak rahmat kepada ummah.

Dalam perutusannya bersempena sambutan Maal Hijrah 1432H/2010M yang disiarkan di laman web 1Malaysia beliau, Perdana Menteri berkata Malaysia telah memberikan komitmen tinggi dalam membawa pengertian hijrah kepada agenda transformasi berganda buat negara.

“Percayalah, Malaysia sentiasa konsisten dalam menerajui konsep kesederhanaan dan keamanan sejagat sejak lima dekad yang lalu. Selama ini, pelan penghijrahan ekonomi dan pembangunan negara telah membuktikan falsafah kesederhanaan dan keseimbangan ini adalah satu pencapaian hebat dan mesej dakwah Islamiah yang besar di tahap global.

“Ia bukan sahaja digerakkan melalui bidang ekonomi, sosial serta politik, malah profil Malaysia di pentas sejagat juga diberikan suntikan transformasi bagi mengungguli teraju teladan kesederhanaan.

Beliau berkata sekiranya semua ini dapat diteladani maka ia akan mencetuskan lonjakan rahmat yang juga turut berganda kepada rakyat.

Najib berkata seluruh umat Islam sedang memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah S.A.W. yang penuh barakah itu hari ini dan sambutan ini merupakan kesinambungan dalam memperingati dan menghayati perjuangan Baginda.

Peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W. dari Mekah ke Madinah adalah satu gerakan berstrategik melalui penjanaan daya kreativiti yang tinggi dilatari oleh tradisi keilmuan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T., katanya.

Beliau berkata sambutan Maal Hijrah pada tahun ini bertemakan “1Malaysia, 1 Ummah” yang dianggap bertepatan dengan semangat hijrah yang dirukuni oleh Rasulullah S.A.W. dalam melahirkan satu ummah yang berteraskan kepada nilai-nilai murni, berpaksikan keadilan sosial, prinsip penerimaan dan meraikan kemajmukan melalui kepelbagaian.

“Semangat Hijrah inilah yang telah kita terjemahkan dalam bentuk program transformasi negara. Sememangnya, kesederhanaan dengan erti kata seimbang dan terbaik telah menjadi kerangka rujuk kita membangunkan negara selama ini,” katanya.

Menelusuri sejarah kejayaan negara, Najib berkata Malaysia kini muncul sebagai sebuah negara membangun yang maju, berdaya saing serta progresif.

Beliau berkata kejayaan ini adalah didasari kekuatan perpaduan 1 Ummah yang berasaskan keunikan perpaduan antara kaum yang sedia ada.

“Kita juga telah menyarankan pembentukan pergerakan kesederhanaan di peringkat global, hakikatnya kita telah merujuk kepada semangat dan saranan yang dijana oleh ajaran al-Quran dan As-Sunnah,” katanya.

Beliau berkata ia seterusnya memberikan pengiktirafan kepada Malaysia sebagai peneraju pemikiran dalam pelbagai bidang yang signifikan kepada dunia Islam.

Najib berkata pengiktirafan ini merupakan pemangkin kepada pemimpin dan rakyat agar terus istiqamah dalam menjayakan program transformasi bersepadu dalam menjana model baru ekonomi bagi mewujudkan sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Katanya, ia seiring dengan komitmen untuk melokasi Malaysia sebagai ikon kemakmuran, keharmonian dan kesederhanaan dengan sifat kepelbagaian etnik dan agama.

Mengakhiri perutusannya, Najib berkata beliau dan keluarga mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1432 kepada seluruh umat Islam Malaysia walau di mana jua mereka berada dan raikanlah sambutan itu bersama rakan-rakan daripada pelbagai bangsa demi kekuatan “1Malaysia 1 Ummah.” — Bernama

2 ulasan:

  1. SALAM, BAGI MEREKA2 YANG DAH PEKAK LUBANG TELINGA MAKSUD HIJRAH DARI KELANTAN PI CARI KERJA KAT KL

    BalasPadam
  2. salam,
    saya pun tengah berhijrah ni tuan..hahaha

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...