Nuff Head

05 Disember 2010

HOSPITAL UMUM BARU DIJANGKA SIAP HUJUNG RMK-10

KUCHING: Hospital umum baru yang bakal dibina pada tahun depan di Petra Jaya dijangka siap sebelum penghujung Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Menurut Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS) Abdul Rahim Abdullah, ia akan mula dibina tahun depan tetapi tarikh bermulanya projek pembinaan hopital baru itu akan diumumkan kemudian oleh kementerian.

“Ia (hospital baru) kemungkinan akan dibina di sekitar kawasan Demak di mana hospital itu nanti akan menempatkan 500 katil,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Sambutan 100 Tahun Perkhidmatan HUS di sini, semalam.

Tambahnya, sekarang keperluan utama HUS ialah menyediakan lebih banyak katil dan ruang dan lebih banyak pembangunan sejajar dengan perkembangan hospital umum di negeri lain.

“Rancangan kami untuk menambah katil dan ruang kini berjalan lancar termasuk di Petra Jaya yang akan menyediakan 500 katil tambahan.

“Kami harap perkembangan ini akan terus berjalan lancar dalam rancangan Malaysia seterusnya,” katanya.

Jelasnya, pada Januari tahun depan, mereka akan memulakan operasi dan berpotensi menyediakan 168 katil, malah menambahnya kepada 200 katil secara tidak langsung dapat mengurangan kesesakan di situ.

Mengenai tempat letak kereta di HUS, Rahim berkata pihaknya sedang mengadakan perbincangan mendalam dengan Kementerian Kesihatan di Putrajaya dan beberapa cadangan sudah dikemukakan.

“Penyediaan tempat letak kereta sudah diluluskan di bawah RMK-9 tetapi belum dilaksanakan kerana kekurangan dana di seluruh negara dan kementerian turut menekankan tumpuan kepada penjagaan pesakit,” kata Rahim.

Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa kos mengendalikan hospital tidak termasuk pembangunan sekurang-kurangnya RM190 juta.

Katanya bagi pembangunan, kerajaan pusat menyediakan lebih RM30 juta untuk membeli peralatan termasuk daripada Program Rangsangan Ekonomi.

Untuk bajet operasi beliau menjelaskan ia adalah sebanyak RM260 juta pada tahun lepas dan dijangka meningkat pada tahun ini iaitu berkemungkinan sebanyak RM265 juta bagi sepanjang tahun termasuk gaji (kira-kira 55 peratus).

“Kami hanya mengutip sekitar dua hingga tiga peratus daripada orang ramai yang mampu membuat bayaran perubatan ketika mendapatkan rawatan di sini,” ujarnya.

Selain itu, Rahim turut menyatakan bahawa setakat ini bagi kegunaan praktikal, pihak pengurusan memanggilnya Pusat Jantung HUS, di mana mereka bermula dengan khidmat jantung dan akan memperluaskannya kepada perkhidmatan lain seperti radioterapi, buah pinggang dan sebagainya.

“Kadar perkembangan bergantung kepada sumber manusia di sini,” tambahnya.

Justeru, beliau mensasarkan 17 lagi pusat pakar akan dibina di HUS dan pada masa ini terdapat 27 pusat di HUS.

Hadir sama Penolong Pengarah Kanan HUS Lee Wee Ju.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...