Nuff Head

01 Disember 2010

TERKINI : Tun Dr Mahathir puji kepimpinan Najib

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memuji pentadbiran Datuk Seri Najib Razak kerana menerima maklum balas dan pendapat orang luar mengenai hal-hal negara.

Beliau berkata penerimaan oleh pentadbiran pada masa ini telah membawa kepada dasar lebih baik yang menyenangkan semua pihak, dengan berkongsi dan meluahkan apa yang ada dalam fikiran mereka, sehingga mendapat sokongan lebih baik daripada orang ramai.

"Saya mesti mengakui bahawa Najib dan pentadbirannya sangat terbuka. Apabila memerlukan konsultasi daripada sesiapa, mereka akan berbuat demikian, dan saya juga pernah memberikan pendapat beberapa kali, misalnya mengenai proses transformasi," katanya pada ketika sesi soal jawab selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Eropah-Malaysia (MEF) di sini hari ini.

Bagaimanapun, ketika menjawab satu soalan, Dr Mahathir mengulangi bahawa beliau tidak merancang untuk kembali memimpin negara, namun akan terus memberikan pendapat serta kritikan menerusi blognya.

"Bagi saya, untuk kembali dan terlibat secara langsung, itu tidak mungkin berlaku. Sekali saya keluar, saya tidak akan masuk semula. Saya hanya berharap mereka akan membaca blog saya, hanya setakat itu yang boleh saya sumbangkan," katanya.

Mengenai persepsi rakyat berhubung konsep 1Malaysia, Dr Mahathir berkata konsep perpaduan nasional hanya boleh dicapai sekiranya setiap rakyat menganggap diri mereka sebagai warga Malaysia.

Beliau berkata konsep itu disasarkan secara rasmi ketika pelancaran Wawasan 2020 yang diumumkan pada 1991. "Dalam Wawasan 2020, yang saya umumkan pada 1991, perkara pertama yang ingin kita capai ialah perpaduan nasional. Konsep itu boleh dicapai sekiranya semua rakyat melupakan kisah silam mereka, menggunakan satu bahasa dan menganggap diri masing-masing sebagai warga Malaysia.

"Hari ini, saya dapati rakyat masih berkata 'Saya Cina Malaysia, Melayu Malaysia, India Malaysia' yang akan membuatkan tafsiran konsep 1Malaysia amat rumit untuk rakyat yang terdiri daripada kaum yang berbeza," katanya.

Mengenai Program Transformasi Ekonomi Kerajaan (ETP), Dr Mahathir berkata Malaysia perlu lebih menyokong industri tempatan untuk membantu mereka menjana pendapatan lebih kukuh.

Mengambil Korea dan Jepun sebagai contoh, Dr Mahathir berkata kedua-dua negara perlu diteladani melalui cara mereka memperbaiki serta membangunkan integriti kewangan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI).

"Apa yang mereka (Jepun dan Korea) lakukan ialah mendapatkan sumber serta teknologi asing, dan pada masa yang sama, memperbaiki teknologi sendiri serta menjadi syarikat gergasi. Namun di Malaysia, kita membenarkan orang asing datang ke negara ini dan mendapat manfaat daripada kos buruh yang rendah.

"Masanya telah tiba untuk kita berubah. Kita perlu menyokong industri tempatan. Kita telah memberikan insentif kepada syarikat asing, jadi mengapa kita tidak berikannya kepada syarikat tempatan?," katanya.


Forum bertemakan "Looking Back In Order To Move Forward" diadakan bagi memastikan Malaysia dan Eropah mempunyai persefahaman mengenai dasar masing-masing, terutama soal pelaburan. Ia disertai 250 orang termasuk ahli perniagaan, pegawai kerajaan, ahli akademik dan wakil pertubuhan pelajar dari dalam dan luar negara.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...