KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di negeri ini akan melakukan pemantauan lebih kerap dan menyeluruh di semua premis perniagaan bagi mengesan aktiviti menyorok bekalan gula di negeri ini.
Pengarah Pejabat KPDNKK Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata pegawai penguat kuasa kementerian itu akan dikerah ke semua lokasi yang dikenal pasti oleh pihaknya untuk melakukan pemantauan setiap hari.
Selain itu katanya kementeriannya akan menempatkan pegawai penguatkuasaannya di sempadan-sempadan antara Malaysia dan Indonesia termasuk semua Kompleks Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ) bagi melakukan pemeriksaan dan pemantauan.
Menurutnya, pegawai penguat kuasa KPDNKK negeri terutamanya dari ibu pejabat Kuching akan melakukan pemantauan di pasar-pasar utama termasuk pekan Batu 7, Bau dan Serian.
“Semua ini adalah bertujuan untuk mengesan dan seterusnya membanteras kegiatan menyorok dan menyeludup gula kerana kita bimbang kegiatan ini mungkin akan berlaku berikutan keputusan kerajaan menyelaraskan harga beberapa komoditi termasuk gula pada harga 20 sen berkuat kuasa Sabtu lepas sebagai langkah kedua Program Rasionalisasi Subsidi negara,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.
Wan Ahmad juga memberitahu bilik gerakan KPDNKK negeri turut dibuka setiap hari sehingga jam 10 malam bagi membolehkan orang ramai membuat aduan jika mengetahui berlakunya kegiatan menyorok mahupun menyeludup bahan berkenaan termasuk tiga lagi komoditi yang diselaraskan harganya iaitu petrol RON95, diesel dan petroleum gas cecair (LPG).
Beliau bagaimanapun memberitahu sehingga semalam tiada kegiatan menyorok mahupun menyeludup barangan-barangan berkenaan dikesan.
“Individu yang didapati bersalah menyorok gula mahupun barangan kawalan lain boleh dikenakan denda sebanyak RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Bagi syarikat yang melakukan kesalahan sama akan didenda RM250,000 di bawah akta sama. Dalam hal ini KPDNKK tidak akan berkompromi,” ujarnya.
Jumaat lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala mengumumkan harga RON95 yang diselaraskan menjadi RM1.90 seliter, diesel kepada RM1.80 seliter dan LPG RM1.90 sekilogram manakala gula RM2.10 sekilogram.
Menurut Idris penyelarasan semula harga barangan itu membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya yang mencecah RM1.8 bilion di samping mengimbangi defisit kewangan negara.
Kali pertama penyelarasan harga bahan berkenaan dilakukan 16 Julai lalu dengan petrol dan diesel diselaraskan lima sen seliter dalam semua sektor, LPG (10 sen sekilogram), gula (25 sen sekilogram), sekaligus membolehkan kerajaan mengurangkan pembelanjaannya melebihi RM70 juta dalam Program Rasionalisasi Subsidi kali pertama.
Beliau menambah, walaupun harga bahan-bahan itu diselaraskan, ia masih rendah berbanding beberapa negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand.
salam,
BalasPadamsemoga pemantauan dapat mengelak manipulasi harga oleh peniaga. sekarang dah mula dibeberapa tempat, barang dinaikkan dengan sesuka hati. sebab mereka tahu kerajaan adalah kambing hitam dalam hal ini...