Projek Batu Lintang simbol kemakmuran, pastikan Sarawak terus maju selepas 2020
KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata projek Pembangunan Batu Lintang apabila siap sepenuhnya nanti akan meletakkan kualiti pembangunan khasnya hartanah di negeri ini pada tahap lebih tinggi.
Menurutnya pelaksanaan projek itu juga menjadi simbol kepada kemakmuran yang dicapai Sarawak selain memastikan negeri ini terus berkembang maju selepas 2020.
“Projek Pembangunan Batu Lintang agak besar dan terletak di lokasi istimewa bersebelahan dengan Batu Lintang ke Jalan Ong Tiang Swee hingga (Jalan) Upland, pembangunan yang perlu menunjukkan kualiti pembangunan (hartanah) pada masa hadapan di Sarawak dan kemakmuran yang mampu dicapai.
“Oleh itu pembangunan ini memerlukan lebih banyak suntikan modal serta kepakaran untuk memastikan impian ini menjadi kenyataan, yang akan memastikan Sarawak terus berkembang maju selepas 2020,” katanya.
Taib berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) projek Pembangunan Batu Lintang antara Naim Holdings Berhad, Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) dan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Beliau menambah Pembangunan Batu Lintang bukan projek pembangunan yang biasa kerana ia boleh meningkatkan standard pembangunan di negeri ini secara amnya.
Mengenai usaha sama membabitkan Naim Holdings Berhad, LAKMNS dan TBS itu, Taib berkata ia menunjukkan kualiti pelaburan lebih baik diceburi badan pemegang amanah seperti LAKMNS dan TBS yang menjamin keuntungan lebih baik kepada badan-badan berkenaan.
LAKMNS tambahnya, boleh menjalinkan usaha sama perniagaan yang lebih serius dengan melibatkan diri dalam pelaburan lebih menguntungkan serta selamat.
“Badan-badan pemegang amanah (LAKMNS dan TBS) menggunakan wang rakyat untuk mendapat pulangan yang sangat baik menerusi usaha sama seperti ini,” katanya sambil memberitahu ia langkah bijak diambil oleh kedua-dua badan pemenang amanah itu.
Taib dalam pada itu yakin kerjasama perniagaan antara Naim dan kedua-dua badan pemegang amanah itu akan membuahkan hasil yang menguntungkan semua pihak lebih-lebih lagi rekod pencapaian cemerlang syarikat itu khasnya dalam sektor pembangunan hartanah.
“Saya sudah lama mengenali Naim (Holdings Berhad) dan amat bangga dengan pencapaian serta kejayaan dicapai syarikat ini… di tangga teratas dalam sektor pembangunan hartanah bukan sahaja di Sarawak tetapi Malaysia.
“Saya amat berbangga kerana syarikat ini adalah milik penuh Bumiputera.
“Semua kejayaan yang dicapai adalah hasil kebijaksanaan serta kepakaran yang ada dalam syarikat berkenaan selain pendekatan penuh berhati-hati diambilnya ketika melaksanakan setiap projek pembangunannya,” katanya.
Taib menambah kejayaan Naim harus dijadikan contoh kepada syarikat Bumiputera yang lain di Sarawak dan pada masa sama membuktikan dasar pentadbiran negeri ini tidak menjejaskan peluang Bumiputera dalam sektor perniagaan amnya.
Naim Holdings Berhad diwakili Pengarah Urusannya Datuk Hasmi Hasnan manakala TBS diwakili Presiden Majlis Agama Islam Datu Putit Matzen dan Tan Sri Datuk Amar Bujang Nor mewakili LAKMNS.
Hadir sama pada majlis itu Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Pengerusi Wakaf dan Tabung Baitulmal Sarawak merangkap Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman dan Menteri Muda Pembangunan Industri Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen.
SUMBER UTUSAN BORNEO.
Wahai saudara blogger, anda tidak akan ke mana kalau hanya merujuk satu akhbar sahaja. Rujuklah semua akhbar di Sarawak...bukan sekadar Utusan Borneo. Saya melihat akhbar ini, ada kelemahannya terutama bahasa. (maaf sekadar pandangan)
BalasPadamWahai saudara anon, terimakasih atas nasihat ,untuk pengetahuan saya tak berminat nak kemana-mana pun. :)saya mohon maaf juga atas kelemahan bahasa penyampaian tetapi saya lebih mengutamakan mesej dari bahasa..
BalasPadamsaudara aleh saya mengikuti blog sdra ..teruskan perjuangan dalam penulisan sdra.bagi anon saya cadang tulis blog sendiri dan boleh tulis apa lu mau.
BalasPadam