Nuff Head

02 Januari 2011

PANTANG MAUT SEBELUM AJAL! : SAMPAN KARAM DI LIMBANG


10 mangsa sampan karam berpaut pada objek hanyut, seorang masih hilang

TRAUMA: Bian (tengah) memeluk isterinya, Musa Siran serta iparnya Luyap Siran di Balai Polis Limbang, semalam. Mereka adalah antara 10 mangsa yang terselamat dalam kejadian sampan karam di Rumah Juing Rantau Kura kelmarin.

LIMBANG: Berpantang maut sebelum ajal. Itulah saat mendebarkan yang ditempuhi 10 mangsa dalam tragedi sampan karam di Rumah Juing Rantau Kura kelmarin apabila mereka berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada objek hanyut setelah sampan dinaiki karam dipukul gelombang besar.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 11 pagi itu, kesemua mangsa terpaksa bertarung nyawa dalam arus deras dengan berpaut pada papan dan sebarang objek terapung demi menyelamatkan diri.

Ini kerana sampan yang dinaiki mangsa termasuk lapan orang dewasa dan tiga kanak-kanak itu karam setelah dipukul gelombang kuat.

Dalam kejadian mendebarkan itu, usaha seorang warga emas Murut Chang, 84, berbangsa Lun Bawang untuk menyelamatkan diri dalam tragedi itu gagal kerana dilaporkan masih hilang.

Difahamkan kesemua penumpang dalam perjalanan dari bandar ke rumah mereka selepas membeli keperluan sekolah dan barangan harian lain.

Ketua operasi mencari dan menyelamat, Sarjan Mejar (SM) Ramli Salleh ketika ditemui berkata, mangsa yang selamat berjaya berpaut pada objek yang hanyut untuk menyelamatkan diri masing-masing.

“Mangsa yang selamat berpaut pada objek yang hanyut, manakala sampan yang dinaiki karam setelah dipukul gelombang yang kuat.

“Akibat kejadian itu seorang lagi mangsa masih hilang dan operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan sehingga hari ini (semalam),” katanya.

Jelasnya air sungai yang deras dan berpusar turut menjadi punca sehingga menyebabkan sampan berkenaan karam serta-merta.

“Demi menyelamatkan nyawa kesemua mangsa sedaya upaya untuk menyelamatkan diri dan segera berpaut pada objek yang terapung.

“Difahamkan juga, ada antara mangsa pandai berenang, namun air sungai yang agak deras ketika itu menyukarkan mangsa yang hilang (warga emas) untuk berenang sebelum dilaporkan hilang,” ujarnya.

Beliau menambah pihaknya menerima laporan pada jam 1 tengah hari dan bergegas ke lokasi kejadian kira-kira dua jam perjalanan dari bandar.

Ramli memberitahu seramai 30 anggota dikerah untuk mencari mangsa yang hilang melibatkan anggota polis, marin, pasukan bomba dan penyelamat, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) serta bantuan daripada penduduk kampung.

Katanya, setakat ini operasi mencari dua lagi mangsa yang dilaporkan hilang diteruskan oleh pasukan penyelamat

“Operasi terpaksa dihentikan akibat hari gelap dan hujan lebat pada jam 5 petang kelmarin dan diteruskan pada jam 7 pagi hari ini bersama penduduk kampung,” katanya.

Mangsa-mangsa yang selamat ialah Luyap Siran, 54, Supang Kading, 38, Lipan Ain, 43, Bian Ateng, 55, Musa Siran, 52, Philip Jabu, 30-an, Kanderik Peter, 16, Magdeline Salap Serai, 13, Aiman Jamri, 9, Marylene Serai, 5.

Sementara itu, anggota keluarga mangsa yang masih hilang berada di kawasan berkenaan dan ada antaranya yang menyertai usaha mencari dan menyelamat dengan sampan panjang mereka.

SUMBER : UTUSAN BORNEO

BERSYUKUR PADA ALLAH KEPADA YANG SELAMAT DAN SEMOGA MANGSA YANG HILANG DAPAT DISELAMATKAN.

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...