Nuff Head

25 Januari 2011

HOSPITAL UMUM SARAWAK HANTAR UBAT MELALUI POS!

Syabas !

Sesuatu yang baru namun ianya akan memanafaatkan khususnya bagi pesakit-pesakit luar bandar .Saya ada mengenali kawan-kawan yang tinggal di Pedalaman yang datang sebulan sekali ke Kuching untuk mengambil ubatan susulan .Pastinya program ini akan mengurangkan kos pengangkutan mereka.

Promosi program hantar ubat melalui pos


PEGAWAI farmasi, Zanisah Ahmad Torky (kanan) menyerahkan bungkusan ubat kepada petugas Pos Laju , Zachary Philip di Kuching, semalam.


KUCHING 24 Jan. - Hospital Umum Sarawak (HUS) akan memperhebatkan promosi program Ubat Melalui Pos 1Malaysia (UMP 1Malaysia) yang diperkenalkan sejak Ogos lalu bagi memastikan orang ramai sedar tentang kewujudannya dan memanfaatkan perkhidmatan itu.

Timbalan Pengarah Farmasi HUS, Mardziah Suhaili berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan bekerjasama dengan Pos Malaysia Berhad untuk mempromosikan UMP 1Malaysia termasuk mengadakan pameran di perkarangan hospital serta menghebahkan kewujudan program tersebut melalui media cetak dan elektronik.

Menurutnya, setelah lima bulan diperkenalkan, masih ramai yang tidak tahu mengenai UMP 1Malaysia walaupun program itu mendapat maklum balas positif daripada para pesakit terawal yang menggunakan perkhidmatannya.

"Setakat ini, hanya 38 pesakit HUS mendaftarkan diri untuk menggunakan perkhidmatan ini.

"Oleh itu, kita harap melalui promosi yang diperhebat serta hebahan media, lebih ramai pesakit sedar tentang kewujudannya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis pelancaran UMP 1Malaysia peringkat HUS di sini hari ini.

Program tersebut dilancarkan oleh Timbalan Pengarah HUS, Dr. Junaidi Diki.

Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini melancarkan perkhidmatan UMP 1Malaysia serentak di hospital dan klinik awam di seluruh negara.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Junaidi berkata, sejak beberapa tahun lalu, pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh HUS, khususnya Jabatan Farmasi bagi meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.

Selain UMP 1Malaysia, katanya, pihak HUS telah memperkenalkan beberapa perkhidmatan yang mempermudahkan urusan pesakit seperti perkhidmatan faks, e-mel, SMS dan telefon (FEST); sistem pendispensan ubat bersepadu (SPUB); Program Pemulangan Ubat serta kempen Go Green.

Program UMP 1Malaysia adalah perkhidmatan pembekalan ubat susulan dari hospital terus ke lokasi pilihan pesakit melalui pos laju dengan caj kiriman serendah RM5 mengikut berat ubat serta lokasi penghantaran.

Ia merupakan salah satu daripada perkhidmatan tambah nilai yang diwujudkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di hospital-hospital dan klinik awam dengan kerjasama Pos Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengunjungi kaunter Farmasi Pesakit Luar HUS atau menghubungi talian 082-276057.

sumber dari : Utusan Malaysia Sarawak

1 ulasan:

  1. dengan adanya perhidmatan seperti ini, ia dapat mengurangkan lagi bebanan kepada golongan yang kurang mampu. Syabas....

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...