Nuff Head

24 Oktober 2010

TAPAK WARISAN MERDEKA DI KAMPUNG BARU?




Pindah Menara Warisan Merdeka ke Kampung Baru

KUALA LUMPUR 22 Okt. – UMNO Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan memindahkan projek pembinaan Menara Warisan Merdeka ke Kampung Baru di sini bagi membolehkan nilai hartanah orang Melayu di situ naik berganda pada masa depan.

Wakilnya, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, langkah memindahkan menara 100 tingkat itu ke Kampung Baru lebih wajar berikutan tapaknya yang luas.

“Saya memohon kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memikirkan, apa salahnya menara itu dinaikkan di tengah-tengah tanah orang Melayu di Kampung Baru.

“Di Kampung Baru kita mempunyai 92 hektar manakala tanah Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang akan dibangunkan bersebelahan Stadium Merdeka dan Stadium Negara hanya 8.8 hektar,” katanya ketika membahaskan usul ekonomi di sini hari ini.

Menurut beliau, langkah memindahkan menara itu ke Kampung Baru juga adalah bagi membolehkannya menjadi mercu tanda kejayaan orang Melayu di negara ini.

“Saya percaya orang Melayu di Kampung Baru akan bersetuju sungguh-sungguh dengan cadangan ini,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Johari yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa mencadangkan supaya diwujudkan sebuah institusi baru yang mirip PNB tetapi dengan fungsi berlainan.

Beliau berkata, langkah itu perlu dibuat kerana konsep yang diamalkan oleh PNB sekarang tidak lagi bersesuaian pada zaman ini bagi membolehkan orang Melayu mengharungi cabaran Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“PNB adalah pelabur pasif dan tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan syarikat yang dilaburnya dan ia juga tidak membangunkan kemahiran keusahawanan Melayu secara besar-besaran.

“Ia juga tidak melatih profesional Melayu dan mengembangkan bakat pengurus kaum ini dalam industri dan sektor yang dilaburnya,” ujarnya.

Tambah beliau, institusi baru yang dicadangkan itu akan memberi tumpuan bagi melahirkan lebih ramai usahawan Melayu agar mereka dapat terlibat secara langsung dalam 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan 131 projek yang dikenal pasti di bawah ETP.

“Langkah ini bertujuan memastikan masyarakat Melayu tidak tertinggal dalam arus pembangunan ekonomi dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian Titiwangsa, Nazir Hussin Akhtar Husin menyokong penuh cadangan Johari supaya memindahkan Menara Wawasan ke Kampung Baru.

Exco Pemuda UMNO yang juga Ketua Pemuda cawangan Kariah Atas A itu berkata, cadangan memindahkan projek itu adalah baik dan lebih membantu orang Melayu khususnya di kawasan berkenaan.

‘‘Bayangkan jika di tanah orang Melayu di tengah-tengah bandar yang strategik dibina bangunan sebegitu indah, pastinya ekonomi orang Melayu akan melonjak dengan cepat dan lebih terjamin,’’ katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berharap, Perdana Menteri dapat mempertimbangkan cadangan itu.

Cawangan Kariah Atas A adalah salah sebuah daripada 26 cawangan UMNO di keseluruhan Kampung Baru yang terletak dalam bahagian Titiwangsa.

1 ulasan:

  1. Memang benar jika Projek Warisan Merdeka dapat dibangun di Kampong Baru, saya yakin akan mendapat sokongan dari Umat Islam dimana saja mereka berada.

    Seluruh dunia akan kagum kepada ummat Islam Malayu di Malaysia. Ketika itu akan ramai peniaga luar yang datang dan melabur di Kg.Baru.

    Sama-sama kita berdo'a semoga Warisan ini akan ujud di Kg.Baru, Amin.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...