Nuff Head

25 Oktober 2010

Batu Sapi kembali pesat membangun!!!


Pemandangan pekan Tanah Merah yang menjadi tumpuan penduduk Batu Sapi untuk mendapat pelbagai barangan keperluan seharian dan perkhidmatan.


Satu ketika dahulu, kawasan Batu Sapi pernah menjadi tumpuan ramai khususnya pencari pekerjaan berikutan kepesatan industri perkayuan sehingga mendapat jolokan sebagai pusat pengeluar kayu-kayan utama di negeri ini.

Kilang-kilang pengeluar papan lapis tumbuh bagai cendawan sekitar 80-an hingga awal 90-an sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk di daerah ini dan daerah sekitarnya seperti Kinabatangan dan Beluran.

Bagaimanapun kepesatan itu tidak bertahan lama, apabila banyak kilang berkenaan menutup operasi kerana sumber kayu-kayan yang semakin berkurangan.

Keadaan itu sedikit sebanyak menyebabkan Batu Sapi hilang daripada tumpuan pencari pekerjaan dan masyarakat sekitarnya.

Bagaimanapun keadaan itu tidak berpanjangan kerana sejak enam tahun lalu, kerajaan telah memberikan tumpuan bagi membantu Batu Sapi bangkit semula menjadi pusat ekonomi dan tumpuan ramai.

Sejak itu pelbagai program diatur termasuk pembesaran jalan dan pembinaan pelbagai kemudahan bagi merangsang kembali ekonomi di daerah itu yang kini kebanyakannya telah beralih pada pemprosesan minyak kelapa sawit.

Pun begitu, masih terdapat kilang-kilang kayu beroperasi mengeluar hasil kayu-kayan dalam skala sederhana.

Peniaga minyak sawit, Gusman Alonto, 66, berkata, usaha membangunkan semula Batu Sapi penting bagi memastikan penduduk di kawasan ini tidak terus ketinggalan.

Tambahnya, golongan peniaga sepertinya amat mengharapkan bantuan kerajaan bagi menghidupkan kembali aktiviti ekonomi di kawasan itu.

“Sekarang banyak berubah. Aktiviti ekonomi telah kembali rancak dan berharap ia akan terus berkekalan,” katanya ketika ditemui di pekan Karamunting hari ini.


Replika bongkah batu menyerupai seekor sapi yang terdapat di jalan masuk utama ke Batu Sapi, Sandakan.


Beliau yang mengusahakan perniagaan berasaskan minyak masak berharap kerajaan akan terus membantu golongan peniaga dengan menyediakan pelbagai kemudahan serta akses untuk berniaga.

Ebarahim Tahir, 39, berkata, selain kemudahan ekonomi, peluang pendidikan juga diutamakan menerusi pembinaan sekolah baru seperti Sekolah Kebangsaan Bahagia dan Pusat Giatmara Batu Sapi.

“Harapan saya agar dapat dibina sebuah lagi sekolah menengah baru, selain daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sapi kerana kawasan ini terdapat banyak sekolah rendah,” katanya.

Terdapat lima sekolah rendah di kawasan ini iaitu Sekolah Kebangsaan Karamunting, Sekolah Kebangsaan Bandar Dua, Sekolah Kebangsaan St. Gabriel, Sekolah Kebangsaan Gas, Sekolah Kebangsaan Bahagia dan juga sekolah di pulau-pulau berhampiran.

Katanya, akibat kekurangan kemudahan sekolah menengah, ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak mereka bersekolah di luar kawasan Batu Sapi.

Sementara itu bekas Pemaju Kemajuan Masyarakat kawasan Sekong, Hasbolla Amat berkata, kawasan Batu Sapi kini kembali menjadi tumpuan ramai ekoran usaha kerajaan membangunkan semula kawasan ini dengan pelbagai kemudahan untuk rakyatnya.

Katanya, kepesatan pembangunan di Sandakan sedikit sebanyak telah membawa limpahan ekonomi kepada daerah Batu Sapi menerusi pembukaan kawasan perumahan baru.

Mengenai nama Batu Sapi, beliau berkata, ia diambil daripada sebuah bongkah batu yang menyerupai seekor sapi di teluk laut perairan bandar ini.

“Mitos di sebalik bongkah batu itu adalah ia terjadi apabila sapi tersebut dipanah petir ketika sedang menyelamatkan penduduk khususnya golongan nelayan daripada serangan seekor buaya,” katanya.sumber dari utusansabah@utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...