Nuff Head

11 Oktober 2010

Bukit Sapi sudah bersedia untuk Pilihan Raya Kecil

BN Batu Sapi Tingkat Persiapan Hadapi Pilihan Raya Kecil

SANDAKAN, 10 Okt (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Batu Sapi akan meningkatkan persiapan menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, yang akan diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Edmund Chong Ket Wah dalam nahas jalan raya.

 
Pengerusinya Datuk Samsudin Yahya berkata semua parti komponen BN di kawasan Parlimen itu sudah mengenal pasti kempen yang sesuai untuk mendekati pengundi dan ia akan diperkemaskan lagi.

"Kami yakin tiada masalah untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi kerana ia merupakan kubu kuat BN," katanya kepada Bernama di sini.

Dalam kejadian di Kota Kinabalu Sabtu, Edmund yang juga Bendahari Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terlibat dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, Tanjung Aru.

Samsudin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong yakin pucuk pimpinan BN akan meletakkan calon yang berjiwa rakyat dan mampu menyambung tugas Edmund untuk berkhidmat kepada rakyat di Parlimen Batu Sapi.

Mengenai kematian Edmund, Samsudin menyifatkan BN Batu Sapi kehilangan seorang pemimpin yang baik dan berjiwa rakyat.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong diwakili Samsudin dari Umno dan DUN Karamunting diwakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Peter Pang En Yin yang kini wakil rakyat Bebas menyokong BN selepas keluar dari Parti Liberal Demokratik pada bulan lepas.

-- BERNAMA

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...