Nuff Head

21 Oktober 2010

Siapakah Angkasawan Sarawak yang Pertama?

PCA 1M cari angkasawan negara Sabtu, Ahad ini

KUCHING 20 Okt. - Mereka yang berminat untuk menjadi angkasawan kini boleh menyertai Program Cabaran Angkasawan 1Malaysia (PCA 1M) yang akan dilangsungkan di Tebingan Kuching pada Sabtu dan Ahad ini.



Program anjuran Yayasan Angkasawan Malaysia hanya memerlukan tiga kriteria utama iaitu peserta mestilah warganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atas dan sihat tubuh badan.

''Mereka hanya perlu melepasi larian dengan masa yang ditetapkan untuk peringkat seterusnya dalam fasa pertama," kata satu kenyataan dari Agensi Angkasa Negara (Angkasa) yang dikeluarkan di sini hari ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof akan melepaskan peserta larian tersebut pada pukul 7 pagi.

Terdapat tiga fasa cabaran untuk peserta dan mereka yang berjaya melepasinya semua akan menjalani latihan angkasawan di Star City Rusia serta menyaksikan pelancaran Soyuz di Baikonur Cosmodrome merasai keadaan mikrograviti dengan penerbangan parabolik atau melawat Johnson Space Center Houston di Amerika Syarikat.

Setiap 1,000 penyertaan pertama akan berpeluang mendapat kemeja -T eksklusif Program Cabaran Angkasawan Malaysia 2010, sijil penyertaan dan cenderahati.

Program ini bertujuan mewujudkan kesedaran umum serta meneruskan kesinambungan Program Angkasawan Negara serta program lain yang telah dilaksanakan oleh Angkasa.

Ia sebagai susulan kepada kejayaan negara menghantar angkasawan ke Stesen Angkasa Antarabangsa atau International Space Station (ISS).

''Selain itu, ia bertujuan memupuk minat dan mendidik belia Malaysia menceburkan diri dalam bidang sains dan teknologi terutama yang berkaitan sains angkasa," menurut kenyataan itu lagi.

PCA 1M ini akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia merasai suatu pengalaman yang unik daripada perspektif berbeza mengenai kaedah pemilihan calon angkasawan di samping merasai sendiri pengalaman bagaimana angkasawan itu dilatih termasuk pendedahan kepada keadaan mikrograviti.

PCA 1M itu juga bersempena dengan penganjuran Karnival Malaysia Inovatif 2010 Zon Sarawak.

Program ini telah dilancarkan 29 Mei 2010 lalu di Universiti Malaysia Sabah (UMS) oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili.
mukapetang: Tahniah YB Datuk Fadillah, semakin banyak usaha yang diatur oleh kementerian YB untuk meningkatkan kesedaran mengenai sains & teknologi.  Sekarang ada juga peluang orang Sarawak untuk menjadi angkasawan yang seterusnya! Jadual Jelajah Angkasawan ditempat anda boleh di rujuk di bawah

 

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...