KUALA LUMPUR 24 Ogos – Rata-rata rakyat Indonesia yang mencari rezeki di Malaysia mencemuh perbuatan ahli Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) yang memijak Jalur Gemilang dan melempar najis ke kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, mereka menganggap perbuatan itu sebagai bodoh dan boleh menggugat hubungan baik antara kedua-dua negara.
Mereka turut percaya ada dalang yang menghasut ahli pertubuhan itu bertindak demikian untuk mempolitikkan isu penahanan tiga anggota penguat kuasa negara berkenaan oleh Polis Marin Malaysia di perairan Riau, baru-baru ini.
Seorang buruh binaan, Muhammad Nurzan Muhammad, 45, berkata, dia tidak bersetuju dan kesal dengan perbuatan ahli pertubuhan berkenaan kerana Malaysia banyak berjasa kepada Indonesia.
“Sebagai rakyat Indonesia yang menetap di Malaysia, saya sangat kesal dengan tindakan ini dan marah kerana kami di sini dilayan dengan baik serta hidup aman tanpa sengketa.
“Saya percaya ada pihak ketiga yang sengaja menimbulkan isu murahan seperti ini untuk kepentingan mereka,’’ katanya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan tindakan melampau anggota Bendera memijak Jalur Gemilang dan melempar sebungkus najis ke kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sebagai tanda protes terhadap penahanan anggota penguat kuasa negara berkenaan.
Seorang lagi buruh binaan, Zulkifli Kamil, 52, turut marah dengan perbuatan tersebut dan melabelnya sebagai tindakan orang yang tidak berpelajaran.
“Kita datang dari satu rumpun yang sama dan saya bimbang kejadian seperti ini akan mengancam keselamatan rakyat Indonesia di Malaysia yang selama ini hidup dengan selesa,’’ ujarnya.
Peniaga pasar malam, Faisal Nordin, 58, pula berkata, dia sudah menetap di Malaysia selama 30 tahun dan sepanjang tempoh itu tidak mempunyai sebarang masalah dengan rakyat negara ini.
“Saya dilayan dengan baik di sini dan tidak pernah terlintas di fikiran saya terdapat rakan-rakan di Indonesia sanggup berbuat demikian kepada negara yang telah banyak memberikan bantuan kepada kami,’’ katanya.
Seorang lagi peniaga pasar malam, Zainal Abidin Jabutarn, 35, berkata, dia amat terkejut dengan kejadian itu dan beranggapan perkara seperti tersebut tidak patut berlaku kerana Malaysia dan Indonesia umpama abang dan adik.
“Segala masalah boleh diselesaikan secara diplomatik dan saya difahamkan masalah berkaitan penahanan penguat kuasa kami dan juga nelayan Malaysia itu sudah diselesaikan, jadi apa lagi mahu dikecohkan,’’ tambahnya.
Penjual minuman, Hasni Anip, 48, pula berkata, tindakan ahli Bendera itu sepatutnya tidak berlaku kerana ia menunjukkan sikap segelintir rakyat Indonesia yang suka bertindak melulu dan mencemarkan nama baik negara.
Bagi penjaga kaunter tiket sebuah syarikat bas, Abdullah Muhammad, 22, rakyat Indonesia seharusnya mencari cara terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah dan bukan bertindak mengikut perasaan seperti yang dilakukan oleh ahli Bendera.
“Segala permasalahan antara kedua-dua negara biarkan pemimpin yang selesaikan dan kita sebagai rakyat jangan masuk campur kerana ia akan memburukkan lagi keadaan,’’ jelasnya.
source: utusan malaysia
0 ulasan:
Catat Ulasan