SHAH ALAM: Pakar Patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand memberitahu Mahkamah Koroner di sini semalam, setiausaha politik, Teoh Beng Hock tidak membunuh diri.
Beliau berpendapat selepas meneliti autopsi kedua mayat Teoh. selain tidak membunuh diri, bedah siasat juga tidak menunjukkan bahawa Teoh dipukul atau diseksa sebelum ditemui mati.
Daripada kecederaan yang beliau alami, tidak ada bukti keterangan forensik untuk menyokong mengenai dakwaan (dipukul atau diseksa), katanya ketika menyambung semula keterangannya semalam selepas ditangguhkan hujung tahun lalu kerana gagal hadir selepas mendakwa menerima ancaman keselamatan.
Dalam keterangannya tahun lalu, Pornthip berkata, beliau berpendapat 80 peratus punca kematian akibat dicekik dan didera, manakala 20 peratus lagi bunuh diri sehingga mahkamah membenarkan mayat Teoh digali untuk dibedah siasat kali kedua.
Disoal peguam pemerhati Kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar berhubung anggaran peratusan itu, Dr Pornthip menukar pandangannya dengan tidak mengekalkan pendapat Teoh mati akibat dibunuh.
Selepas bedah siasat kedua, saya tidak dapat mengekalkan peratusan itu. Lebih-lebih lagi, saya sendiri tidak berada di tempat kejadian (ketika penemuan mayat Teoh) dan hanya menganggarkannya berdasarkan penemuan pakar patologi forensik serta gambar yang dirakam.
Ketika membuat anggaran itu sebelum ini, saya perlu meyakinkan Koroner untuk membenarkan bedah siasat kedua dijalankan. Bagaimanapun, saya masih mengekalkan pendapat si mati mengalami kecederaan sebelum jatuh dan berada dalam keadaan tidak sedar ketika jatuh, katanya.
Dr Pornthip juga berkata, kesan lebam pada leher Teoh bukan akibat dijerut atau dicekik, sebaliknya berlaku sebelum dia jatuh yang mungkin disebabkan hentakan kuat objek tumpul.
Katanya, ia juga mungkin disebabkan seseorang meletakkan sesuatu pada leher Teoh atau menekan kepalanya ke atas sesuatu.
Disoal peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, Dr Pornthip berkata berdasarkan pengalaman siasatan di lokasi kejadian jenayah dan ahli sains forensik, sebarang nota yang ditemui mesti diuji untuk DNA, cap jari dan cap telapak tangan dengan segera dan dihantar untuk ujian analisis tulisan kerana ia adalah protokol.
Katanya, nota sedemikian tidak memberi kesan terhadap siasatan kerana ia dianggap bersifat emosi dan beliau lebih gemar bergantung kepada bukti lebih saintifik. Dr Pornthip selesai memberikan keterangannya semalam dan terus kembali ke negaranya selepas itu.
Inkues di hadapan Koroner Azmil Munthapa bersambung 1 September ini.
source: berita harian
0 ulasan:
Catat Ulasan