Nuff Head

19 Ogos 2010

PDRM nafi dakwaan pihak berkuasa Indonesia

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan pihak berkuasa Indonesia bahawa tiga anggota penguat kuasa perikanan negara itu yang sudah dibebaskan pagi semalam, ditahan dalam perairan republik berkenaan.

Sebaliknya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata Pasukan Gerakan Marin Wilayah 2 yang melakukan rondaan pada hari kejadian, menahan tiga petugas Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia terbabit dalam kawasan perairan Malaysia di Kota Tinggi, Johor.

“Mereka ditahan dalam kawasan perairan kita... tak timbul dakwaan yang kita mengambil tindakan itu dalam kawasan perairan Indonesia,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.
Sementara itu, tujuh nelayan Malaysia yang dibebaskan semalam oleh pihak berkuasa Indonesia selepas ditahan Jumaat lalu, masih belum terlepas daripada tindakan undang-undang negara jiran itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata nasib mereka kini bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Teknikal Khas Malaysia dan Indonesia yang masih memperinci isu sempadan perairan tempat tujuh nelayan Malaysia terbabit ditahan.

“Pembebasan tujuh nelayan terbabit dilakukan sementara menunggu keputusan jawatankuasa berkenaan,” katanya di Putrajaya, semalam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...