Nuff Head

20 Ogos 2010

Melanau kaum terawal yang utamakan kepercayaan dan adat istiadat

KUCHING: Melanau merupakan antara kaum terawal di negeri ini yang amat menitikberatkan kepercayaan serta adat istiadat.

Penolong Pegawai Penyelidik Seksyen Melanau Majlis Adat Istiadat Sarawak Hat Hoklai, berkata walaupun terpaksa bersaing dalam arus kemodenan namun masyarakat Melanau tidak mengabaikan adat yang menjadi amalan mereka sejak dahulu.

Menurut Hat, masyarakat Melanau juga dikatakan mempunyai persamaan dengan masyarakat Melayu justeru masyarakat ini dilihat sebagai cabang daripada masyarakat Melayu.

“Namun demikian, masyarakat Melanau tetap mempunyai budaya dan adat resam tersendiri yang boleh dilihat dalam aspek kehidupan mereka seperti kelahiran, perkahwinan dan juga kematian.

“Kini sebanyak 80 peratus masyarakat Melanau beragama Islam, 15 peratus pula beragama Kristian, bagaimanapun terdapat juga masyarakat Melanau yang masih ‘pagan’ (tidak ber-agama),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan cera-mah sempena ‘Sarawakian Series Talk’ di sini semalam.

Ceramah yang dianjurkan Pustaka Negeri itu telah di-sertai oleh 250 peserta berbilang kaum daripada pelbagai jabatan dan juga pertubuhan bukan kerajaan.

Hat dalam ceramah tersebut juga memberitahu kaum Melanau telah menduduki negeri ini sejak kurun ke-10 dan ke-12 yang dipercayai datang dari Yunan, selatan China.

“Antara penempatan terawal kaum Melanau adalah di daerah Mukah iaitu di pekan Mukah, Kampung Tellian Mukah, Kampung Medong Dalat, Matu, Daro, Bintulu, Tatau dan Miri.

“Selain itu, terdapat rumah panjang Melanau di Kampung Sok Matu yang merupakan antara rumah panjang yang masih kekal sehingga kini,” katanya.

Tambah beliau lagi, masyarakat kini juga boleh melawat atau melihat sendiri rumah panjang Melanau yang telah dibina di Kampung Budaya Sarawak.

Beliau dalam ceramah tersebut juga memberitahu antara aktiviti yang masih dikekalkan oleh masyarakat Melanau masa kini adalah kepercayaan Pesta Kaul.

“Kaul ini diraikan sebagai satu upacara keraian masyarakat Melanau dan semasa festival ini masyarakat Melanau amat dilarang berada di laut untuk tempoh tiga hari mulai festival tersebut diadakan,” katanya.

source: Borneo Post

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...