KUALA LUMPUR: Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, semalam menyampaikan pesanan wakil pemimpin Palestin yang meminta Tun Dr Mahathir Mohamad, hadir ke negara mereka sebagai orang tengah dalam usaha meredakan ketegangan politik serta membantu mereka bersatu menghadapi konflik.
Pengalaman serta daya kepemimpinan Dr Mahathir membuatkan rakyat Palestin yakin Pengerusi Pertubuhan Keamanan Global Perdana (PGPO) itu individu paling sesuai bagi membantu meringankan beban serta mencari jalan penyelesaian konflik yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu.
Abdul Azeez berkata, sepanjang tempoh 10 hari berada di sana bersama 67 sukarelawan Kelab Putera 1Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) dan wakil media di sana, mereka menerima kunjungan banyak pihak yang datang untuk berkongsi pengalaman serta menyatakan hasrat mereka kepada Kerajaan Malaysia.
“Saya sudah sampaikan hasrat itu kepada Datuk Seri Najib Razak dan hari ini saya tunaikan janji untuk nyatakan pesanan mereka kepada Tun (Dr Mahathir).
“Majoriti pemimpin Palestin yang datang menemui kami menyatakan hasrat supaya Malaysia membantu.
“Mereka cukup menghormati Malaysia, mereka tahu gagasan 1Malaysia dan cukup kenal dengan Tun sebagai orang berpengalaman. Insya-Allah saya percaya Tun ambil tindakan susulan,” katanya selepas menemui bekas Perdana Menteri itu di Yayasan Al-Bukhary, di sini, semalam.
Sepanjang tempoh pertemuan hampir sejam itu, Abdul Azeez berkata, Dr Mahathir mendengar dengan teliti setiap yang diperkatakan dan berdasarkan riak air mukanya, beliau percaya sesuatu yang positif bakal berlaku terhadap penduduk Palestin.
Berdasarkan pengalaman berada di sana, Ahli Majlis Tertinggi Umno itu cukup yakin bumi Gaza sebenarnya mempunyai aset dan prospek pelancongan yang baik untuk dimajukan tetapi terbatas akibat konflik serantau.
source: berita harian
0 ulasan:
Catat Ulasan