KUCHING: Seorang bapa kepada lima orang anak dijatuhi hukuman penjara 100 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana merogol anak perempuannya.
Hakim Mahkamah Sesyen Amelati Parnell menjatuhkan hukuman tersebut ke atas bekas kakitangan Jabatan Tanah dan Survei berusia 52 tahun itu selepas didapati bersalah atas lima tuduhan sumbang mahram di bawah Seksyen 376A Kanun Keseksaan.
Setiap pertuduhan, dia dijatuhi hukuman 20 tahun penjara.
Lelaki tersebut adalah tertuduh pertama dan dua individu lain dituduh adalah anak-anaknya.
Tertuduh melakukan kesalahan pertama dalam semak di tepi jalan di Petra Jaya antara jam 1 petang hingga 12 pagi pada Disember 2006.
Hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tahanan reman pada 18 Februari 2009.
Dia dijatuhi hukuman penjara 20 tahun kerana tiga kesalahan yang dilakukan antara Januari hingga Disember 2007 di beberapa tempat termasuk pejabatnya di Jalan Pending, rumah mereka di Samariang dan juga dekat lampu isyarat di Semerah Padi.
Setiap hukuman akan dijalankan serentak selepas tertuduh menamatkan hukuman penjara bagi kesalahan yang dilakukan pada 2006.
Atas kesalahan merogol anaknya di atas motosikal di sebuah kawasan semak Petra Jaya pada November 2008, tertuduh menerima hukuman 20 tahun lagi, yang akan dikuatkuasakan berturut-turut selepas menjalani hukuman 40 tahun penjara bagi empat kesalahan pertama.
Sementara itu, dua abang mangsa masing-masing dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan 24 sebatan kerana melakukan kesalahan yang sama.
Tertuduh kedua dan ketiga didapati bersalah atas dua tuduhan yang dipinda di bawah Seksyen 376A kerana merogol adik perempuan mereka.
Mereka melakukan kesalahan itu di rumah mereka di Bandar Baru Samariang di sini antara Julai dan Disember tiga tahun lalu sekitar jam 1 petang hingga 6 pagi.
Ibu mangsa dikatakan tidak terdaya menghalang suami dan anak-anaknya kerana kurang upaya.
Mangsa yang kini berusia 18 tahun juga kurang upaya kerana dia dilahirkan dalam keadaan lengan kanannya kudung.
Menerusi peguam mereka, Mohamad Fairuz Masri, mereka merayu hukuman diringankan.
Fairuz mendakwa isteri tertuduh pertama mengalami keaiban dan tekanan kerana keluarga mereka telah dilabelkan sebagai ‘keluarga teruk, tidak beragama, rosak akhlak dan haruan makan anak’.
Dalam hujah balas, timbalan pendakwa raya Stella Augustine Derus menggesa mahkamah mengenakan hukuman sebagai pengajaran kerana tertuduh yang sepatutnya bertanggungjawab melindungi darah daging sendiri telah menjadi binatang yang mengambil kesempatan dan menghancurkan masa depan mangsa.
Dalam Penghakiman, Amelati berkata tertuduh seharusnya melindungi anak perempuanya tetapi perbuatan keji mereka telah menggelapkan masa depan mangsa.
Beliau berkata perbuatan itu merupakan masalah sosial yang memberi kesan kepada masyarakat di negeri ini.
source: borneo post
0 ulasan:
Catat Ulasan