Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi amaran kepada Ezam Mohd Noor nak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya jika tidak menghentikan mendakwa kononnya beliau telah menelefon bekas Ketua Pemuda KeAdilan itu mengarahkan supaya menghalang lelaki mendekati Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau memberi amaran berkenaan menerusi satu kenyataan yang disiarkan dalam laman blog Anwar Rabu.

Kata Wan Azizah beliau tidak pernah menelefon Ezam mengaitkan Anwar seperti tohmahan itu.

Cuma silap sikit kenyataannya menyebut beliau ditanya oleh pemberita Berita Harian mengenai dakwaan Ezam itu pada pagi 10 Ogos 2010 di perkarangan mahkamah.

Sebenarnya yang bertanya soalan itu kepada beliau ialah wartawan Agendadaily,Noor Hasilah Ismail selepas majlis ringkas potong kek hari jadi Anwar ke 63 di kantin Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur .

Majlis oleh beberapa orang pimpinan PKR dan rakan Anwar itu dibuat selepas perbicaraan kes liwat melibatkan hal dakwaan hubungan Saiful Bukhari Azlan dengan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif.

Noor Hasilah telah memperkenalkan dirinya sebagai wartawan Agendadaily.Beliau dulunya pernah berkerja sebagai wartawan Berita Harian.

Dalam soal jawab semasa perbualan itu yang jelas merujuk kepada panggilan telefonnya kepada Ezam dari Washington,Wan Azizah tidak menafikan ada membuat panggilan telefon.

Katanya,” Ezam telah bagi gambaran yang lain. Saya pesan kat dia sebagai seorang adik, tengok-tengokkan abang dia (Anwar)….. ( sila rujuk kepada transkrip perbualan penuh di bawah - yang masih ada dalam pita rakaman Noor Hasilah).
Ini kenyataan penuh Wan Azizah di laman blog Anwar Rabu:

Amaran kepada Ezam untuk hentikan fitnah jahat
Pada pagi 10 Ogos 2010, di perkarangan mahkamah, pemberita Berita Harian menyatakan beliau di arahkan menanyakan soalan mengenai tuduhan Ezam Mohd Nor mendakwa kononnya saya telah menelefon beliau mengarahkan supaya menghalang lelaki mendekati Saudara Anwar. Saya dengan tegas menafikan tohmahan jahat beliau. Ezam sengaja mereka cerita setelah beliau bersama UMNO dan tidak sebelumnya.

Saya tidak pernah menelefon beliau mengaitkan Saudara Anwar seperti tohmahan tersebut. Saya kesal kerana nafsu politik beliau tidak ada batas; sehingga sanggup memfitnah saya selaku isteri dan ibu. Ternyata untuk kekal relevan sebagai alat pimpinan UMNO, kerja beliau hanya mencerca kami.
Saya telah enggan melayan sebarang kenyataan beliau yang di buat hasil menerima upah pimpinan UMNO, walaubagaimanapun kerana tuduhan tersebut berulang dan mengaitkan nama saya secara peribadi, saya mengingatkan beliau supaya hentikan kerja fitnah yang jelas fasiq.
Sekira beliau mengulangi fitnah tersebut, saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau dan merujuk beliau ke Mahkamah dan Mahkamah Syariah.
Sekian, terima kasih.
Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Parti Keadilan Rakyat.




Sebagai catatan Ezam mendakwa panggilan telefon Wan Azizah itulah yang mendorongnya meragui tentang perangai Anwar dan kemudiannya memutuskan untuk meninggalkan Parti KeAdilan Nasional .( Sila rujuk dibawah komen Ezam ulas Wan Azizah).

Katanya sebelum itu beliau tidak pernah percaya langsung dakwaan tentang Anwar sehinggalah panggilan telefon dari Washington yang diterimanya dari Wan Azizah ketika berada di rumah lama Anwar di Bukit Damansara.

Ezam beberapa kali mendakwa hal ini dalam ceramahnya.Beliau menyatakan hal yang sama dalam interbiu dengan Agendadaily baru-baru ini. (Rujuk kepada interbiu bertajuk : Puncanya…Wan Azizah).

Ezam yang ditanya bagaimana kalau Wan Azizah menafikannya berkata beliau sanggup bersumpah untuk membuktikan beliau cakap benar.

Beliau mengulangi kesanggupan bersumpah kelmarin.

Wan Azizah pula kata beliau tak mahu campur jika Ezam nak bersumpah.


sumber dari AgendaDaily