Nuff Head

19 Ogos 2010

Najib berbuka bersama MB, KM dan Kabinet

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam berbuka puasa bersama anggota Kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri di kediaman rasminya di Seri Perdana, di sini.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, pegawai tinggi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Felda, hadir sama.

Pada majlis itu, Najib selaku Menteri yang bertanggungjawab terhadap FELDA, turut menyampaikan zakat perniagaan Kumpulan FELDA dan Koperasi Permodalan Felda (KPF) Berhad kepada 14 buah Pusat Zakat Negeri (PZN).

Jumlah bayaran zakat bagi 2009 bagi Kumpulan FELDA dan KPF ialah berjumlah RM25.82 juta iaitu bertambah RM5.94 juta berbanding RM19.88 juta pada 2008.

Zakat Kumpulan FELDA bagi 2009 adalah sebanyak RM14.92 juta iaitu bertambah RM2.15 juta, manakala KPF pula berjumlah RM10.90 juta iaitu meningkat RM3.78 juta.

PZN Pahang adalah penerima terbesar zakat itu iaitu sebanyak RM9.02 juta, diikuti Johor (RM5.96 juta), Sabah (RM2.9 juta) dan Negeri Sembilan (RM1.82 juta).
Bayaran zakat itu adalah kali yang keenam sejak 2005.

Perdana Menteri turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih dengan berimamkan Sheikh Amru Jumah Abduh dari Mesir, selepas majlis berbuka puasa itu.

Najib turut meraikan dan menyampaikan sumbangan kepada 40 anak yatim dari Rumah Nur Hikmah, Kajang pada majlis tersebut. BERNAMA

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...