Nuff Head

25 Ogos 2010

Abdul Taib Masih Belum Putuskan Sama Ada Bertanding Dalam P/Raya Negeri

KUCHING, 24 Ogos (Bernama) -- Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud masih belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri yang diwakilinya pada pilihan raya negeri ke-10 akan datang.
YABPEHIN SRI DR. HAJI ABDUL TAIB BIN MAHMUD

Pemimpin berusia 74 tahun itu yang merupakan Ketua Menteri yang paling lama berkhidmat iaitu selama 29 tahun sejak 26 Mac, 1981, berkata beliau tidak dapat membuat keputusan mengenai perkara itu kerana ia perlu dibincangkan dan diluluskan oleh pucuk pimpinan.

"Saya tidak tahu...terserah kepada parti dan perdana menteri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan biasiswa Amanah Raya Berhad (ARB) kepada tiga pelajar Sarawak yang akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, pada hari Selasa.

Pelajar berkenaan ialah Mohammad Zubair Mustafa yang belajar di Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan di Labu, Negeri Sembilan, Faliq Asraf Jafri dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tunaz di Kuching dan Nadira Hamapei dari SMKA Miri.

Taib, yang sebelum ini ialah anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Asajaya sebelum bertukar ke kawasan Dewan Undangan Negeri Balingian pada 2001, berkata beliau bersedia untuk berundur jika keadaan memerlukan beliau berbuat demikian.

"Banyak orang kata saya tidak diperlukan. Jika saya tidak diperlukan, saya akan berundur," katanya.

Taib yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sejak 1981 dan pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak berkata beliau sebenarnya mahu berundur daripada politik pada 2006 tetapi ramai di kalangan dalam parti menentang hasratnya itu dan akhirnya beliau memutuskan untuk tidak bersara.

Mengenai bila beliau kemungkinan mengadakan pilihan raya negeri, Ketua Menteri berkata perkara itu masih belum diputuskan lagi.

Mengenai sentimen pengundi Cina di Sarawak yang masih memilih pembangkang berbanding BN, katanya trend itu masih membingungkannya sehingga kini.

"Saya juga bertanyakan soalan yang sama, saya mahu tahu," katanya dan menurutnya kerajaan negeri secara ikhlas cuba memenangi hati pengundi Cina tetapi masih gagal berbuat demikian sehingga kini.

Pada pilihan raya negeri 2006, PBB memenangi 34 daripada 71 kerusi negeri diikuti Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dengan 11 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) sembilan kerusi dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) lapan kerusi manakala selebihnya dimenangi parti-parti pembangkang.

-- BERNAMA
mukapetang: Insya Allah kita boleh menang lagi majoriti selagi Ketua Menteri masih bersama pada PRN-10 kelak.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...