Nuff Head

21 November 2010

PBB Satok Terjah PKR??


Pejabat PBB N8 Satok Berwajah Baru

oleh Mirul Haizam
19 November 2010
KUCHING – Warga PBB Satok kini dapat berjumpa dan bermuzakarah dalam keadaan yang selesa.  Ini direalisasikan dengan perasmian pejabat baru Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N8 Satok.  Pejabat PBB Satok kini mula beroperasi di tengah Jalan Kulas yang merupakan nadi kawasan Satok.
Kawasan Satok yang terletak ditengah-tengah Bandaraya Kuching merupakan hub ekonomi di mana terdapat 8 buah bank utama Negara.  Untuk memanfaatkan kemudahan yang diberi, ahli PBB Satok hendaklah sentiasa bermuafakat.
Perasmian pejabat baru PBB  telah disempurnakan oleh Ketua Cawangan PBB N8 Satok itu sendiri, merangkap Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Negeri Sarawak iaitu Yang Berhormat Datuk Amar Abang Hj Johari bin Tun Abang Haji Openg.  Upacara perasmian dihadiri oleh kaum bapa, wanita dan pemuda di sekitar kawasan N8 Satok.  Turut hadir adalah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen P194 Petra Jaya, YB Datuk Haji Fadillah Yusof.
Kaum Wanita N8 Satok yang diketuai oleh YB Senator Dayang Hajjah Medinah binti Tun Abang Haji Openg turut sama untuk memeriahkan lagi upacara perasmian.  Tidak ketinggalan juga golongan pemuda Satok yang diketuai oleh Kr. Ir. Haji Irwan bin Hasbie untuk hadir bersama dengan pemimpin mereka.
Dalam ucapan perasmian, YB Datuk Amar mengingatkan betapa pentingnya perjuangan PBB kepada masyarakat di sekitar Satok.  YB Datuk Amar juga berharap ahli parti PBB dapat menggunakan segala jenis kemudahan yang akan disediakan di Pejabat PBB N8 Satok kelak.
“Kita mempunyai ramai ahli yang terdiri daripada pelbagai jurusan dan disiplin.  Ada yang pakar ekonomi, sosio-budaya dan tidak kurang dari bermacam-macam jurusan sains di setiap ranting.  Gunakanlah kemahiran mereka ini untuk memajukan kawasan Satok,”  ujar YB Datuk Amar kepada ahli PBB yang hadir.
YB Datuk Amar juga berharap agar MOSTI dapat menganjurkan aktiviti kerjasama di Pejabat PBB khususnya untuk meningkatkan kemahiran ICT di kalangan ahli PBB di Satok.
“Kedudukan strategik pejabat baru ini diharap dapat digunakan untuk menyelaras serta menjalankan aktiviti bersama penduduk di sekitar kawasan Satok.”
YB Datuk Amar kemudiannya menandatangani plak dinding sebagai tanda perasmian Pejabat Baru PBB N8 Satok.  Kemudiannya, para hadirin berkumpul di halaman Pejabat PBB untuk menyaksikan upacara menaikkan bendera yang diiringi oleh zikir memuji kebesaran Allah s.w.t.
Kaum wanita yang diketuai oleh YB Senator Dayang Hajjah Medinah, kemudiannya mengadakan perjumpaan yang berlangsung dalam bilik mesyuarat.  Ahli PBB yang lain kemudiannya bertanya khabar dan bertukar pendapat mengenai hal-ehwal ranting dan kampong masing-masing.
YB Datuk Amar kemudiannya mengadakan sidang akhbar untuk memberi peluang kepada golongan wartawan untuk membincangkan isu-isu semasa.

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...