Nuff Head

14 November 2010

Azizah merayu simpati

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi jaminan untuk bersama-sama Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengambil perhatian serius terhadap sebarang isu berbangkit, khususnya dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu yang sedang berlangsung.

Beliau berkata pihaknya telah pun memulakan tindakan dengan memberi tumpuan kepada kes-kes yang mempunyai petunjuk yang jelas dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahi etika yang digariskan.



"Dengan jaminan ini, saya berharap tidak akan ada kritikan berbentuk peribadi sesama pemimpin dan ahli secara terbuka kerana ini akan membuka ruang kepada musuh," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata pergolakan yang berlaku dalam PKR merupakan proses yang akan mematangkan dan memantapkan parti di samping memberi semangat serta kekuatan baru kepada anggota parti.

Pergolakan dalam PKR bermula apabila bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim pada Isnin lepas mengumumkan untuk menarik diri daripada bertanding selain melepaskan semua jawatannya dalam parti itu.

Zaid yang juga bekas calon Timbalan Presiden mendakwa parti itu tidak langsung cuba menangani pelbagai isu berhubung manipulasi dan amalan pemilihan yang tidak adil walaupun isu-isu itu sering dibangkitkan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga menggesa supaya Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden parti Mohamed Azmin Ali berundur dengan mendakwa kedua-dua mereka punca segala masalah dalam parti.

Ini diikuti Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub yang mendesak supaya pemilihan MPP parti segera dibatalkan kerana terdapat kepincangan dalam sistem perjalanan pemilihan yang didakwa tidak telus.

Pada Jumaat, Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abd Rahman menyerahkan Resolusi Rapat Anak Muda Malaysia yang mengandungi enam perkara berkaitan perjalanan pemilihan MPP kepada Dr Wan Azizah.

Selain itu, Timbalan Pengerusi 2 Perlis yang juga calon Ketua Wanita PKR Dr Suraya Sudin memberitahu sidang media semalam bahawa bukan sahaja calon yang bertanding tidak berpuas hati dengan pemilihan MPP, malah anggota parti yang mengundi juga sudah hilang keyakinan kepada proses mengundi dan keberatan untuk keluar mengundi.

Oleh itu, katanya proses pemilihan boleh ditambah baik dengan mengadakan pemilihan mengikut zon iaitu utara, selatan, timur dan barat supaya memudahkan wakil calon untuk memantau perjalanan pemilihan dan pengiraan undi.

1 ulasan:

  1. Kah kah kah.. tu cakap je lebih.. buat tidak..

    http://mindanelayan.blogspot.com/

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...