Nuff Head

19 November 2010

Luahan Hati Zaid : Kecewa Dianggap 'Orang Jahat'

PETALING JAYA, 19 Nov (Bernama) -- Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim pada Jumaat mengumumkan keluar parti berkuatkuasa 16 Dis ini ekoran hilang kepercayaan terhadap perjuangan parti pembangkang itu.

Beliau berkata keputusan itu dibuatnya setelah menerima tekanan dan serangan peribadi daripada pimpinan parti termasuk Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya telahpun menghantar surat kepada PKR. Saya, secara rasminya hendak keluar daripada parti ini, tarik diri tapi dalam surat saya itu saya berkata bahawa saya nak tarik diri berkuat kuasa 16 Dis.(Ini adalah) berikutan episod pemilihan (Majlis Pimpinan Pusat(MPP, saya telah dituduh, difitnah oleh pemimpin-pemimpin kanan parti dengan tujuan untuk menggambarkan saya ini mengkhianati parti dan berniat jahat.

"Misalnya Saifuddin Nasution Ismail (Setiausaha Agung PKR) berkata saya merancang untuk menubuh parti baru, telah lama sebelum pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bermula. Dr Syed Husin Ali (Timbalan Presiden) dan Mohamed Azmin Ali (Naib Presiden) pula bercakap tentang jahatnya saya ini kerana ingin menggugat parti semasa saya mula-mula masuk parti lagi. Kata mereka sumbangan saya tidaklah banyak dan saya tidak setia kepada parti.

"Anwar Ibrahim sendiri kata saya ini 'trojan horse dan sore loser'. Jadi agaklah sukar untuk saya terus berada dalam parti di mana pemimpin-pemimpin kanan telah menganggap saya ini orang jahat. Jadi saya rasa eloklah saya berhenti dari parti ini," katanya pada sidang akhbar di kediamannya di sini pada Jumaat.

Bekas calon Timbalan Presiden parti itu turut menafikan bahawa kemasukannya dalam PKR kerana mempunyai niat jahat.

"Saya sebenarnya tidak pernah berniat jahat terhadap parti. Saya masuk PKR dengan anak-anak saya sebagai ahli seumur hidup dengan yuran yang tinggi kerana saya pada masa itu ingat inilah parti yang akan memperjuangkan kebenaran, ketelusan dan memberi harapan baru kepada rakyat di negara ini.

"Saya amat kecewa bila dituduh sedemikian. saya tidak pernah menubuhkan parti baru atau merancang apa-apa. Saya sebagai koordinator Pakatan Rakyat walaupun Anwar kata saya ini bukan koordinator. Tak apalah, koordinator ke kerani ke, itu terpulanglah," katanya.

Zaid berkata tindakan pemimpin PKR yang cuba memburukkannya tidak akan berjaya kerana beliau percaya masih ada orang yang mempercayai apa yang diperjuangkannya.


"Inilah cara mereka yang tidak ada keyakinan diri, mereka suka untuk menjatuhkan orang lain dengan harapan mereka akan digambarkan sebagai pemimpin sebenar," katanya.

Mengenai penubuhan parti baru, Zaid berkata parti itu bakal ditubuhkannya dalam masa terdekat iaitu sebelum pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Rancangan saya sekarang, saya akan berjumpa dengan penyokong saya di seluruh negara dan mempersiapkan diri untuk pilihan raya umum akan datang.

"Saya telah banyak bercakap mengenai perjuangan berteraskan kepada kebenaran, berteraskan kepada apa yang betul, saya mahukan parti yang demokratik, parti yang tak banyak sangat karenah, parti yang berteraskan kepentingan rakyat." katanya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga tidak menolak kemungkinan ramai lagi anggota PKR akan keluar parti itu.

Zaid berkata beliau akan bertanding pada pilihan raya umum nanti selepas parti barunya itu ditubuhkan tetapi enggan menyatakan kawasan yang bakal ditandinginya.

"Kalaulah gagal tubuh parti baru, terpaksa bertanding sebagai calon bebas.

"Tapi saya rasa elok bertanding di bawah satu label, ada kawan-kawan sikit lebih bersemangatlah," katanya.

Pada 8 Nov lepas, Zaid mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden PKR dan meletak semua jawatannya dalam parti.

Beliau mendakwa kepimpinan PKR tidak berusaha mengatasi manipulasi dan penyelewengan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung walaupun isu berkenaan telah beberapa kali ditimbulkan.

Sehari selepas pengumuman itu, Zaid mendesak Anwar dan Azmin supaya meletakkan jawatan kerana mendakwa kedua-dua mereka adalah punca segala masalah dalam PKR.

Zaid menyertai PKR pada Jun tahun lepas setelah beliau dipecat daripada Umno.

1 ulasan:

  1. Zahid nak buka parti bagaimana agaknya?
    Takde ISA
    Takde main belakang
    Takde main agama
    Tak sama dengan Cinta Malaysia
    Tak nak tinggi tembak langit macam DAP
    Takkan mendatar je kot?

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...