Nuff Head

23 November 2010

Dr. Mahathir : tak perlu halang Anwar

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pihak luar semakin tidak percaya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dengan itu kerajaan tidak perlu bimbang dan menghalangnya daripada pergi ke luar negara bagi mengelak ketua pembangkang itu daripada terus menghina Malaysia.
 
Lagipun, kata bekas perdana menteri, jika Anwar dihalang ke luar negara, ini akan menimbulkan kemarahan terhadap kerajaan, dan kerajaan akan berdepan dengan pelbagai tuduhan.

"Kita tak patut halang dia keluar negara. Saya tak fikir kita patut takut kepada dia. Kita buat macam itu, orang lagi jadi marah kepada kita, benci kepada kerajaan. Nanti mulalah orang cakap kerajaan itu dan ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Eastern Pacific Industrial Corporation (Epic) Berhad di Kemaman Supply Base kawasan Perindustrian Teluk Kalong di sini hari ini.

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat semalam, beberapa penyokong kerajaan mencadangkan agar Anwar tidak dibenarkan ke luar negara bagi mengelak beliau daripada terus memburukkan Malaysia.

Dr. Mahathir juga berkata sudah sampai masanya penyokong dan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyertai UMNO kerana terbukti PKR diwujudkan hanya untuk kepentingan individu tertentu dan bukannya memperjuangkan kepentingan rakyat.


Beliau berkata parti itu perlu dibubarkan dengan segera kerana kewujudannya hanya memecah belahkan orang Melayu dan umat Islam di negara ini. Menurutnya dengan pembubaran PKR, orang Melayu serta umat Islam diyakiniakan kembali bersatu teguh dalam sebuah parti yang selama ini banyak memperjuangkan nasib dan kebajikan mereka. - Bernama

credit source: utusan malaysia

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...