Mereka Yang Cuba Pecah Belah BN Sarawak Akan Gagal, Kata George Chan
MIRI, 5 Okt (Bernama) -- Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr George Chan tenang dengan tindakan kumpulan tertentu yang cuba memecah belah parti anggota komponen Barisan Nasional (BN) di negeri ini.Beliau berkata kebiasaannya taktik sedemikian akan timbul apabila pilihan raya semakin hampir tetapi ia tetap gagal melemahkan ikatan kukuh di kalangan parti komponen BN.
"Ia (perpecahan di dalam BN) tidak akan berlaku. Dalam parti komponen kita, sebagai pemimpin, kita kenal satu sama lain. Jadi, tidak ada sesiapa yang boleh menyebabkan kita berbalah," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra dengan orang ramai di ibu pejabat SUPP Miri di sini, pada Selasa.
Beliau diminta mengulas kehadiran kenyataan yang dimuatkan di dalam laman sosial internet mengenai kenyataan hasutan bagi menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan anggota parti komponen BN.
Selain SUPP, parti komponen BN yang lain di Sarawak ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).
Dr Chan, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak berkata beliau lebih suka untuk menjelaskan fakta mengenai pencapaian Sarawak di bawah kerajaan BN daripada bertelagah mengenai isu yang dibangkitkan oleh kumpulan sedemikian.
Beliau berkata Sarawak tidak mungkin mencapai kemajuan di tahap sekarang jika parti-parti komponen BN gagal bekerjasama di antara satu sama lain.
Katanya fokus BN adalah bagi memastikan kesejahteraan rakyat di negeri ini dan tidak pernah mengamalkan politik kotor.
Beliau berkata parti akan menggunakan ruang yang ada termasuk laman sosial internet bagi menjelaskan keadaan sebenar di Sarawak.
"Apa yang lebih penting ialah memberitahu rakyat bahawa selama ini, kita telah melakukan perkara yang betul," katanya.
-- BERNAMA
mukapetang: SUPP hendaklah peka dengan perkembangan pembangkang. Mereka hendaklah bergerak dengan kesinambungan untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang. Kawasan-kawasan hitam yang telah dikenalpasti hendaklah cuba untuk ditukar melalui apa jua cara sekalipun demi mendapat suara dalam Dewan Undangan Negeri. Sekiranya mereka tidak bersatu hati maka kuranglah suara untuk merasai pembangunan yang selari dalam Pelan Transformasi Ekonomi. Psst Pilhanraya dah dekat. Sudahkah SUPP bersedia?







0 ulasan:
Catat Ulasan