Nuff Head

01 Februari 2011

PM NAJIB: Kapal TLDM pindahkan pelajar Malaysia di Mesir


Kutipan dari Bernama
LABIS, 1 Feb (Bernama) -- Kerajaan sedang menimbang menggunakan kapal serbaguna Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang bertugas di Teluk Aden, Timur Tengah untuk operasi pemindahan pelajar-pelajar Malaysia yang kini berada di Mesir.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kapal terbabit akan diguna untuk memindahkan pelajar Malaysia di Mesir ke Jeddah, Arab Saudi, bagi membolehkan mereka menaiki penerbangan pulang ke Malaysia.

"Kita mempunyai pelan untuk menggunakan aset Angkatan Tentera Malaysia termasuk kapal TLDM yang sedang meronda di Teluk Aden, untuk membawa mereka keluar daripada Mesir," katanya pada sidang akhbar selepas melawat mangsa banjir di Dewan Kampung Ayer Panas di sini, pada Selasa.

Najib berkata demikian ketika ditanya mengenai kebimbangan keluarga pelajar dan rakyat Malaysia yang kini berada di Mesir, berikutan keadaan yang semakin meruncing di negara Timur Tengah itu berikutan demonstrasi yang diadakan oleh rakyatnya bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak berundur.

Kapal serbaguna TLDM terbabit, KD Bunga Mas kini terlibat di dalam operasi anti-lanun di Teluk Aden.

Pada ketika ini, terdapat lebih daripada 10,000 pelajar Malaysia berada di Mesir.

Perdana Menteri berkata, kerajaan telahpun menghantar rombongan pegawai kanan ke Mesir untuk meninjau keadaan terkini di negara terbabit dan memastikan rakyat Malaysia selamat.

Mengenai penggunaan pesawat kargo C-130 Hercules bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Mesir, beliau berkata ia tidak praktikal kerana pesawat kargo terbabit hanya mampu membawa 40 penumpang.

"Selain itu, kita juga tidak tahu (mengenai) krew yang bertugas di lapangan terbang Mesir itu," katanya.


Najib berkata kerajaan memahami kebimbangan keluarga pelajar berkenaan tetapi kerajaan tidak boleh bertindak terburu-buru.

"Saya memahami perasaan ibu bapa yang risau (terhadap keselamatan anak mereka)," kata beliau.

credit to BERNAMA

1 ulasan:

  1. lambat bro..najib dah umum pun..rkyt msia di bawa pulang..komfom..

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...