JAKARTA: Pengarang majalah Playboy edisi Indonesia enggan keluar dari persembunyian bagi menghadapi hukuman penjara dua tahun yang dikenakan ke atasnya, malah akan mencabar keputusan itu.
Peguam Erwin Arnada, Todung Mulya Lubis, berkata sabitan mahkamah sebelum ini bercanggah dengan kebebasan serta semangat demokrasi yang diperkenalkan di Indonesia selepas kejatuhan Suharto pada 1998.
“Kes ini sangat penting dan bukan sekadar majalah Playboy.
“Ia mengenai kebebasan akhbar, tunjang demokrasi di Indonesia,” katanya di sidang media, semalam.
Sebelum ini, pihak pendakwa mengeluarkan dua perintah supaya Erwin menjalani hukuman penjara itu selepas Mahkamah Agung mengetepikan pembebasan oleh mahkamah lebih rendah, bulan lalu.
Dia didakwa di mahkamah kerana melanggar undang-undang antipornografi kerana menerbitkan majalah berkenaan.
Disebabkan bantahan besar-besaran diadakan di seluruh Indonesia, penerbitan majalah itu akhirnya dihentikan selepas hanya beberapa edisi dikeluarkan pada 2006.
Erwin dikehendaki hadir di mahkamah, semalam, tetapi dia masih bersembunyi sehingga kini.
Todung berkata, jika pelaksanaan hukuman penjara itu dilakukan, ia memberi kesan negatif besar kepada amalan kebebasan memberikan pandangan di Indonesia.
“Mahkamah Agung melakukan kesilapan asas kerana menghukum mengikut kanun jenayah, bukan undang-undang media yang menjamin kebebasan akhbar,” katanya. - AFP
source: metro
0 ulasan:
Catat Ulasan