Nuff Head

23 September 2010

Teater Tun Mahathir Boleh Jadi Sajian Klasik Kepada Negara

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Pementasan teater muzikal 'Tun Mahathir' di Istana Budaya yang bermula Jumaat ini dapat menjadi aspek penting dan sajian klasik bagi mengenang jasa bekas pemimpin tertinggi negara itu.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kepimpinan dan keunikan keperibadian Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah banyak menabur bakti selain memajukan Malaysia menjadikan pementasan itu relevan untuk tatapan umum.

"Seseorang negarawan seperti Dr Mahathir sangat relevan kepada masyarakat kita, justeru walau dalam lipatan usia lanjut beliau masih seorang yang aktif dan hidupnya cerminan kepada masyarakat.

"Sebab itu, kerana keunikan beliau kita merasa sangat afdal mempamerkan pementasan muzikal yang menggarapkan beberapa aspek kehidupan beliau didramakan sedemikian rupa supaya perjuangan beliau dapat menjadi aspek tertinggi kepada negara," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pratonton pementasan kira-kira dua jam setengah itu, di sini Rabu malam.

Beliau berkata teater muzikal yang dibawakan oleh CRTA Production, kementeriannya serta Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) itu dapat menarik minat masyarakat bagi mengetahui perjalanan kehidupan Perdana Menteri keempat negara tersebut.

Teater muzikal yang akan dipentaskan selama 14 hari itu menceritakan mengenai kehidupan Dr Mahathir dari kecil, semasa memegang jawatan Perdana Menteri hinggalah kepada kehidupannya pada masa kini.

Ia membariskan Esma Daniel yang memegang watak Dr Mahathir (dewasa), Erra Fazira (Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali), Zizan Nin (Dr Mahathir semasa remaja) dan finalis Idola Kecil 2008 Mohd Shafeiq Shazwan (Dr Mahathir semasa kanak-kanak).

Teater muzikal itu diarahkan oleh Dekan Fakulti Teater ASWARA Rosminah Mohd Tahir manakala skripnya ditulis oleh Ismail Kassan.

-- BERNAMA

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...