Nuff Head

23 September 2010

Miri : Operasi sukat tanah NCR bermula

 Operasi sukat tanah NCR Kampung Terahad Jaya bermula

Utusan Malaysia

MIRI 22 Sept. - Kampung Terahad Jaya yang berkeluasan 250 hektar dan didiami 500 penduduk akan disukat di bawah Program Inisiatif Baru Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bermula hari ini.  

Sibuti, Bahagian Miri

Penguasa Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Miri, Rozlan Putit berkata, kerja-kerja menyukat tanah itu akan dilakukan dalam tempoh dua minggu bermula 22 September ini sehingga 5 Oktober depan.

''Kampung Terahad Jaya adalah yang pertama dilaksanakan di bawah Program Inisiatif Baru NCR dan kawasan yang akan disukat seluas kira-kira 250 hektar," katanya pada majlis Dialog Program Inisiatif Baru NCR di kampung itu anjuran JTS di sini semalam.  Beliau menambah, kerja-kerja menyukat akan dilaksanakan dalam dua kaedah iaitu secara en-bloc dan lot individu.  


''Penyukatan melalui en-bloc bertujuan mengasingkan tanah NCR yang sahih daripada tanah kerajaan dan ia kemudian akan diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri," katanya. "Ini untuk memastikan penuntut tanah NCR mempunyai jaminan sekuriti ke atas tanah yang diwarta manakala JTS akan mengeluarkan surat milik tanah individu kepada pemilik tanah melalui kaedah penyukatan lot individu."

''Surat hak milik tanah ini akan dikeluarkan di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri, namun pemilik tanah NCR perlu menentukan di mana wujudnya sempadan tanah mereka dalam kawasan yang telah diwartakan Rizab Gunasama Bumiputera," jelasnya.  

mukapetang: Begitu banyak isu tanah NCR mula diselesaikan.  Sebelum ini di Belaga, kini di Miri. Insya Allah kerajaan memang mendahulukan rakyat dan pada masa yang sama mengutamakan pencapaian.  Sistem di bawah pimpinan PM sekarang memang effisyen dalam melakukan kepelbagaian demi mencapai kesejahteraan rakyat. 

 

Pertikaian Sempadan Boleh Melambatkan Kerja-Kerja Mengukur Kawasan NCR

MIRI, 21 Sept (Bernama) -- Pertikaian sempadan di kalangan pemilik tanah berjiran boleh melambatkan inisiatif baru bagi kerja-kerja mengukur kawasan bagi hak milik tanah adat (NCR), kata Penguasa Tanah dan Ukur Bahagian Miri Rozlan Putit.

Beliau berkata Jabatan Tanah dan Ukur telah menjangkakan masalah itu dan akan menganjurkan lebih banyak dialog dengan pemilik tanah yang akan terbabit dalam kerja-kerja ukur itu.

"Kami tidak nampak masalah itu akan timbul semasa kerja-kerja ukur kawasan secara serentak tapi menjangka ia akan berlaku semasa mengukur lot tanah individu," katanya kepada Bernama selepas sesi dialog dengan pemilik tanah di Kampung Terahad Jaya, Sibuti, kira-kira 50 kilometer dari sini pada Selasa.

Beliau berkata Kampung Terahad Jaya, yang menjadi kawasan pertama untuk diukur bagi tanah-tanah NCR di Bahagian Miri di bawah inisiatif baru itu, dan ia akan menguji jabatan itu dalam menangani pertikaian sempadan tanah.

"Bagi kes ini, kami nasihatkan semua pemilik tanah terbabit untuk hadir semasa kerja-kerja ukur itu dan memaklumkan juru ukur kami sempadan sebenar lot-lot tanah mereka dan begitu juga untuk disahkan oleh ketua kampung mereka," katanya.

Pada 22 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan inisiatif baru mengukur tanah-tanah NCR di Sarawak dan memperuntukkan dana RM20 juta bagi kerja-kerja itu yang akan dijalankan sehingga Rancangan Malaysia Kesepuluh.

Sementara itu, Rozlan berkata permintaan daripada 12 lagi kawasan komunal di Niah, Sibuti dan Baram untuk diukur di bawah inisiatif baru itu telah dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk diluluskan.

"Jika permintaan itu diluluskan, kami jangka kerja-kerja itu akan bermula tahun depan," katanya.

Kerja-kerja mengukur kawasan di Kampung Terahad membabitkan kawasan seluas kira-kira 250 hektar yang didakwa sebagai tanah NCR oleh kira-kira 500 penduduk di situ.

Ia akan bermula pada Rabu dan dijangka selesai dalam masa dua minggu.

-- BERNAMA

mukapetang: Kini begitu banyak tanah NCR telah dikemukakan untuk disukat.  Rakyat yang terlibat hendaklah memberikan kerjasama yang sepenuhnya agar proses ini berjalan dengan lancar. Isu masalah sempadan hendaklah diselesaikan. Ketua kampung diharap akan sentiasa meluangkan masa bersama penduduk kampung yang memerlukan khidmat nasihat demi mengelakkan sebarang isu kelak.

 

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...